Impian Anwar jadi PM pasti lebur

Anwar Ibrahim
Anwar Ibrahim
A
A
A

SHAH ALAM - Impian Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk jadi Perdana Menteri kesembilan pasti lebur apabila Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan untuk keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Dr Mahathir dan Anwar, dua pemimpin daripada dua parti berbeza yang merupakan individu penting dalam PH yang kini dinamakan sebagai PH Plus, saling memerlukan antara satu sama lain untuk menubuhkan kerajaan.

Dr Mahathir dan Anwar perlu bekerjasama bagi membentuk majoriti di Dewan Rakyat, namun hingga kini berada dalam kebuntuan berhubung siapa lebih layak menjadi Perdana Menteri jika usaha PH Plus itu berjaya.

Berdasarkan situasi semasa, ramai beranggapan PH atau PH Plus kini di ambang perpecahan dan seperti sudah tidak ada masa depan berikutan pergolakan dalaman yang gagal diselesaikan sehingga sekarang.

Terbaharu, Anwar dalam wawancara televisyen bersama Channel News Asia bertegas bahawa Dr Mahathir tidak seharusnya menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga, namun terbuka untuk Mahathir dilantik ke jawatan senior dalam Kabinet.

Dr Mahathir seperti dipetik dalam wawancara dengan portal Sin Chew Daily Online pula menolak cadangan Anwar untuk beliau dilantik ke satu jawatan khas dalam Kabinet dan bukannya Perdana Menteri jika PH Plus berjaya merampas semula kerajaan.

Dr Mahathir menyatakan hasratnya untuk meninggalkan PH Plus selepas PKR yang dipimpin oleh Anwar menolak cadangan beliau sebagai calon Perdana Menteri.

Malah, kata Dr Mahathir, beliau tidak akan lagi menghubungi PKR ataupun Anwar selaku Presiden parti itu untuk berbincang mengenai soal kerjasama antara kedua-dua parti.

Keadaan itu menarik perhatian ramai bukan sahaja rakyat seluruh pelosok negara tetapi juga pemimpin parti politik yang menyifatkan pergolakan itu menggambarkan PH atau PH Plus akan terus berpecah belah.

Artikel Berkaitan:

Ia turut menarik perhatian Naib Presiden Pas, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah yang menyifatkan pergolakan itu menggambarkan PH kini sudah tidak lagi mempunyai masa depan berikutan pergolakan dalaman yang gagal diselesaikan sehingga sekarang.

Naib Presiden Pas itu yang ditemui pemberita di Kota Bharu, Kelantan turut dilaporkan berkata, PH juga sudah tidak ada lagi tarikan kepada rakyat.

Beliau mendakwa sebelum ini PH membuat pelbagai tuduhan terhadap bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak terutamanya dalam isu 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Tun Dr Mahathir Mohamad
Tun Dr Mahathir Mohamad

“Apabila mereka diberi peluang memerintah negara selama 22 bulan, jelas kepada pengundi mereka gagal dalam melaksanakan janji ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) yang lalu.

“Dalam banyak perkara perangai mereka tidak sama berbanding ketika BN mentadbir negara sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Kota Bharu semalam.

Sehubungan itu, beliau menyarankan Anwar perlu mengambil langkah berani meninggalkan PH kerana secara jelas beliau tidak lagi disokong DAP, Parti Amanah Negara (Amanah) dan Parti Warisan Sabah (Warisan).

Beliau mencadangkan Anwar menjalankan agenda reformasinya dengan menjadi penyokong Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin bagi menguatkan kerajaan yang ada sekarang.

“Menyokong Perdana Menteri tidak semestinya berada dalam kerajaan. Boleh kekal sebagai pembangkang tetapi memberi sokongan moral kepada kerajaan,” katanya.

Sementara itu, penganalisis politik Dr Jeniri Amir berpandangan, pergolakan antara Anwar dan Dr Mahathir hanya merugikan PH Plus apabila yang menang menjadi arang dan yang kalah menjadi abu.

Menurutnya, Dr Mahathir sudah memberi kata dua kepada Anwar bahawa beliau tetap mahu menjadi Perdana Menteri buat kali ketiga walaupun terdapat penolakan terhadap cadangan bekas Perdana Menteri itu.

“Apa yang mungkin berlaku kepada Anwar ialah beliau mungkin terpaksa bergerak sendirian sekiranya Amanah dan DAP serta Warisan memberikan sokongan kepada Dr Mahathir. Situasi itu berkemungkinan boleh berlaku, kita tidak tahu.

“Mahu tidak mahu Anwar terpaksa menerima cadangan Dr Mahathir dan jika tidak menerima keputusan itu maka PKR akan bersendirian dan PH Plus akan diketuai Dr Mahathir, seterusnya membuatkan pembangkang akan terpecah dua,” katanya.