Covid-19: Thailand catat lima kes baharu

Gambar hiasan.
Gambar hiasan.
A
A
A

BANGKOK - Thailand melaporkan lima kes baharu jangkitan Covid-19, semuanya melibatkan warga Thai yang baru kembali dari luar negara, dan tiada kematian dalam tempoh 24 jam, menjadikan jumlah keseluruhan penyakit itu berjumlah 3,156 kes dengan jumlah kematian 58.

Ini merupakan hari ke-29 tanpa jangkitan tempatan baharu dilaporkan di Thailand.

Penolong jurucakap Pusat Pentadbiran Semasa Situasi Covid-19 (CSSA) Thailand, Dr Panprapa Yongtrakul dalam sidang media harian berkata, lima pesakit asimpomatik yang berumur antara 22 hingga 52 tahun itu dilaporkan baru kembali dari Mesir dan Qatar.

Menurutnya daripada 3,156 kes Covid-19, 75 masih kekal dirawat di wad hospital.

Sementara itu kumpulan penyelidik Thailand melaporkan perkembangan positif dalam ujian vaksin Covid-19 mereka.

Menteri Pendidikan Tinggi, Sains, Penyelidikan dan Inovasi Thailand Suvit Maesincee berkata, dos pertama vaksin yang diberikan kepada monyet pada 23 Mei lepas menunjukkan hasil yang cukup menggalakkan, dan menurutnya dos kedua telah diberikan semalam.

"Selepas suntikan pertama pada 23 Mei menggunakan vaksin jenis mRNA, semua haiwan yang disuntik itu kekal sihat dan tidak mengalami sebarang kesan sampingan. Kami juga mendapati antibodi yang meningkat dalam darah mereka.

“Kami sedang meninjau satu lagi keputusan positif, yang akan membawa kepada ujian keatas manusia pada bulan Oktober ini,” kata beliau yang dipetik oleh media Bangkok Post.

Artikel Berkaitan:

Vaksin itu dibangunkan bersama oleh Pusat Kecemerlangan dalam Penyelidikan dan Pembangunan Vaksin Universiti Chulalongkorn, dan Institut Vaksin Nasional serta Jabatan Sains Perubatan Thailand.

Sehingga kini lebih 100 vaksin berpotensi bagi merawat Covid-19 telah dibangunkan di seluruh dunia, dan Thailand turut menyertai perlumbaan bagi membangunkan vaksinnya sendiri.- Bernama