Perginya Subky Latif, tokoh wartawan dan pemikir politik kritis

Allahyarham Ahmad Subky Mohd Latif, 80, atau lebih dikenali Subky Latif, meninggal dunia di rumahnya di Taman Karak Utama, Gombak.
Allahyarham Ahmad Subky Mohd Latif, 80, atau lebih dikenali Subky Latif, meninggal dunia di rumahnya di Taman Karak Utama, Gombak.
A
A
A

SEBUT nama tokoh pemimpin Pas, Allahyarham Ahmad Subky Mohd Latif, 80, atau lebih dikenali Subky Latif, pastinya ramai dalam kalangan ahli dan pemimpin parti itu amat mengenali keperibadian beliau yang begitu setia memperjuangkan hala tuju Pas.

Dilahirkan di Setiawan, Perak pada 28 Julai 1940, Subky yang mengasaskan akhbar lidah rasmi Pas, Harakah bersama bekas Naib Presiden parti itu, Datuk Nakhaie Ahmad pada tahun 1978, menjadi mentor dan guru kepada ramai wartawan terkemuka khususnya dari akhbar itu.

Mula menceburi bidang kewartawanan melalui akhbar Utusan Melayu dan Warta Negara di Pulau Pinang pada tahun 1963, karier Subky sebagai seorang wartawan semakin meningkat naik apabila beliau dilantik sebagai wartawan kanan Kumpulan Akhbar Utusan Melayu.

Berlatarbelakangkan tahap pendidikan agak tinggi iaitu MCE dan ilmu bidang agama di sebuah madrasah di Gunong Semanggol, Perak, Subky berkeupayaan menghasilkan penulisan berkualiti tinggi terutama rencana dan pojok selain dianggap setaraf dengan tokoh wartawan tanah air lain seperti bekas Menteri Penerangan, Allahyarham Tan Sri Zainudin Maidin dan Ali Salim Jiro.

Mempunyai minat mendalam dalam bidang penulisan berita, Subky pernah menyertai kursus Diploma Kewartawanan di Internationales Institut für Journalismus, Jerman serta kerap mengikuti kursus sambil belajar di negara-negara luar khususnya negara Eropah.

Selain akhbar Harakah, Subky turut menjadi pengasas dan ketua pengarang kepada beberapa akhbar seperti 'Suara Rakyat','Suara Merdeka' dan 'Harian Watan' serta beberapa majalah seperti 'Sarina', 'Keluarga', 'Kisah Cinta' dan 'Kritik'.

Sehingga akhir hayatnya, Subky adalah merupakan kolumnis Harakah dan portal HarakahDaily menerusi ruangan tetap 'Mens Sana in Corpore Sano' dalam Harakah.

Dalam arena politik, Subky Abdul Latif pernah menjadi Ahli Jawatankuasa Kerja Pas Pusat tahun 1983 hingga tahun 2005; Ketua Penerangan Pas Pusat (tahun 1988); Pesuruhjaya Pas Wilayah Persekutuan (2007) dan Naib Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat.

Artikel Berkaitan:

Sehingga tarikh akhir pemergian Subky pada tanggal 23 Jun 2020, beliau merupakan Pengerusi Sidang As-Sabiqun Pas, platform yang menghimpunkan veteran parti Islam tersebut.

Karier Subky dalam politik tidak terhad kepada memegang jawatan parti, bahkan pernah menjadi calon Pas bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Pelabuhan Kelang pada tahun 1979.

Selain itu, Subky turut bertanding dalam siri pilihan raya umum Malaysia bagi tahun 1982, 1986, 1990, 1995 dan 1999.

Menurut bekas Ketua Pengarang Akhbar Harakah tahun 2000-2004 dan tahun 2011-2013, Zulkifli Sulong, beliau menganggap Allahyarham Subky merupakan seorang 'guru' dan mentor yang sangat berjasa kepada perjalanan karier dirinya dan juga Pas.

Meskipun Subky lebih cenderung dianggap sebagai tokoh profesional dalam Pas, beliau menunjukkan kesetiaan tidak berbelah bahagi kepada parti apabila menyokong kepimpinan tokoh ulama, Allahyarham Yusof Rawa sebagai Presiden Pas pada tahun 1982 sewaktu berlaku pertembungan dengan bekas bosnya di akhbar Harakah, Nakhaie.

"Bagi saya, Allahyarham Subky merupakan tok guru bukan sahaja kepada diri saya, bahkan juga wartawan terkemuka Harakah lain termasuk seorang lagi bekas Ketua Pengarang Harakah, Ahmad Lutfi Othman.

"Sepanjang saya mengenali Allahyarham, beliau sangat setia kepada Pas dan menyokong pemilihan Allahyarham Yusof Rawa sebagai Presiden Pas berbanding bekas bosnya di Harakah, Nakhaie meskipun dari segi idea, mereka banyak berbeza pendapat," katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian hari ini.

Zulkifli yang kini merupakan pegawai media kepada bekas Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Samad dari Parti Amanah Negara (Amanah) berkata, sewaktu bersama Pas, Subky banyak memainkan peranan penting dalam mendekatkan parti itu dengan pengundi bukan Islam terutama pengundi Cina.

Menurutnya, Subky berjaya meyakinkan kepimpinan Pas untuk menggunakan pendekatan itu bagi meraih sokongan pengundi bukan Melayu kerana beliau berpendapat, tanpa sokongan mereka, parti itu tidak boleh pergi jauh.

"Satu lagi jasa terbesar Allahyarham Subky kepada Pas adalah menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) As-Sabiqun yang menjadi platform menghimpunkan penyokong veteran parti pada saat krisis kepimpinan Pas yang menyaksikan tertubuhnya Amanah selepas itu.

"Pada saat itu, ramai veteran Pas yang merasakan terpinggir setelah beberapa pemimpin lama parti seperti Mohamad Sabu keluar parti dan menubuhkan Amanah dengan muka baharu mengisi ruang kepimpinan Pas.

"Tindakan pantas Subky ternyata berjaya menghalang penyokong veteran Pas dari keluar parti secara beramai-ramai dan bagi saya, gerakan itu mungkin gagal dibendung parti itu jika tidak kerana kebijaksanaan Allahyarham," katanya.

Dari aspek penulisan dan editorial, Zulkifli berpendapat keupayaan Subky menentukan pengisian berita tidak dapat disangkal lagi.

"Secara peribadi, hubungan saya dengan Allahyarham Subky memang sangat rapat dengan kali terakhir saya berhubung dengan beliau menerusi panggilan video pada tiga hari lalu.

"Pemergian beliau tidak mengejutkan kerana saya memang sudah mengetahui keadaan kesihatan Allahyarham Subky sewaktu beliau dirawat di Pusat Perubatan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) cawangan Kuantan, Pahang sebelum ini.

"Bagi saya, pemergian beliau satu kehilangan besar bukan sahaja terhadap industri media, bahkan landskap politik tanah air," katanya.

Allahyarham Subky meninggal dunia di rumahnya di Taman Karak Utama, Gombak pada jam 11.05 semalam akibat penyakit sejenis penyakit darah dikenali myelodysplastic syndromes (MDS).

Beliau meninggalkan seorang balu, Naznah Taha lima anak iaitu Dang Fatiha, Hang Muhammad Iftitah, Abdul Latif Rahbar, Muhammad Ramadhan Subky dan Ahmad Huzaifah.