Harap keputusan tak berat sebelah

Gunung Pulai berpotensi menjadi produk pelancongan.
A
A

BALING - Persatuan Alam Sekitar Gunung Pulai, Baling berharap keputusan pertemuan antara semua pihak mengenai kuari pasir batu pada 29 Januari depan tidak berat sebelah.

Jurucakap persatuan berkata, projek berkenaan perlu dibatalkan sepenuhnya tanpa ada keputusan menang-menang.

"Keputusan menang-menang akan memberi kelebihan kepada syarikat dan tauke kuari khususnya.

"Gunung berkenaan sewajarnya dibangunkan sebagai pusat pelancongan kerana akan menjana sumber ekonomi bukan sahaja kepada pihak berkaitan, tetapi penduduk juga menerima manfaatnya," katanya.

Menurutnya, lokasi Gunung Pulai berada di kawasan strategik yang tepat dijadikan kawasan pelancongan.

"Gunung Pulai hanya lima minit dari Baling. Malah Baling sering menjadi destinasi persinggahan mereka yang menuju ke pantai timur atau pantai timur ke utara.

"Malah daerah ini berdekatan Thailand, jadi tiada sebab mengapa kawasan ini tidak boleh dijadikan kawasan pelancongan terkemuka," katanya.

Katanya, pertemuan pada Selasa depan perlu mengambil kira bantahan daripada pelbagai pihak yang tidak setuju Gunung Pulai dicacatkan dengan operasi kuari.

"Persatuan Sejarah Malaysia Cawangan Kedah (PSMCK), pencinta alam sekitar, pendaki, pelbagai NGO dan agensi serta penduduk jelas menentang operasi ini.

"Pihak penerbit juga sering menjalankan penggambaran filem dan drama di sekitar Gunung Pulai seperti gua dan sungai. Tempat itu diminati masyarakat yang sesuai untuk aktiviti riadah dan sebagainya," katanya.

Sinar Harian semalam melaporkan penduduk kawasan sekitar Gunung Pulai berharap pertemuan Adun, wakil penduduk, syarikat dan pejabat daerah dan tanah pada 29 Januari ini membawa sinar kepada mereka.