X

Kindly register in order to view this article
!

AI jadi penentu teknologi perang

A
A

SEPERTI diketahui umum, Amerika Syarikat (AS) sedang giat membangunkan teknologi kecerdasan buatan atau Artificial Intelligence (AI) untuk membina pesawat pejuang tanpa pemandu yang boleh dikawal dan beroperasi secara autonomi.

Biarpun teknologi AI ini hanya dijangka dibangunkan dua tahun lagi, namun ia dikatakan bakal memberi saingan pada khidmat juruterbang manusia apabila juruterbang yang memiliki kecerdasan buatan ini mampu melaksanakan misi sukar.

Secara asasnya, teknologi AI merupakan salah satu cabang sains dalam menjadikan sesuatu benda mempunyai kepintaran seperti manusia.

Antara cabang penting dalam AI ialah pembelajaran mesin (machine learning) iaitu keupayaan mesin yang mampu 'belajar' untuk menjadi pintar.

Secara konsepnya, mesin yang bakal ‘diajar’ manusia perlu dilengkapkan dengan maklumat yang banyak untuk menjadikannya lebih pintar berbanding mesin lain.

Sebab itu, pihak Jabatan Pertahanan AS mengesahkan penyelidikan ini nanti meletakkan aras baharu kepada ketumbukan tentera udara negara itu dalam menjadikan aset-aset tempur lebih digeruni.

Menerusi projek baharu, mereka membangunkan kerja kerangka bagi membolehkan sistem AI mempelajari tugas baharu dengan lebih baik kerana AI merupakan teknologi perang masa hadapan.

Ini kerana status sebagai negara kuasa dunia memerlukan AS sentiasa bersedia untuk bertempur di mana jua dalam dunia ini, maka sistem AI perlu dimajukan.

Difahamkan ketika ini sistem AI telah pun diaplikasikan secara terhadap dalam operasi ketenteraan di Iraq dan Syria.

Penyelidikan lain juga giat dilakukan misalnya dalam bidang analisis maklumat, logistik, operasi siber dan teknologi maklumat, sistem pemerintahan dan kawalan serta pelbagai sistem kawalan pada kenderaan.

Cipta

Perlumbaan bagi mendahului dalam bidang penciptaan teknologi AI kini turut memberi tekanan kepada AS, China dan Rusia untuk lebih hebat antara satu sama lain.

China dikatakan menjadi pesaing utama susulan langkah Beijing memperkenalkan pelan untuk menjadi negara pendahulu teknologi ini menjelang tahun 2030.

Ketika ini, China memberi tumpuan terhadap penggunaan AI bagi memproses data-data di medan tempur atau operasi selain membangunkan beberapa jenis kenderaan tentera kawalan sendiri. Rusia pula giat membangunkan aplikasi AI dalam bidang robotik.

Pada Oktober tahun lalu, Presiden Rusia, Vladimir Putin telah meluluskan Strategi Kebangsaan Bagi Membangunkan Kecerdasan Buatan (NSDAI) untuk tempoh sehingga tahun 2030.

Ini kerana, Moscow membayangkan pasaran global bagi teknologi AI akan meningkat berkali ganda menjelang empat tahun akan datang dengai nilai ekonomi mencecah AS$500 bilion.

Bagi menjayakan dasar ini, Moscow turut mengajak pemain-pemain industri negara itu sama-sama menggembleng kepakaran sains dan teknologi yang dimiliki.

Teknologi AI bagaimana turut mempunyai cabaran tersendiri bagi pihak tentera kerana kebanyakan asas teknologi ini dibangunkan oleh industri komersial. Justeru, aplikasi AI sendiri akan memakan tempoh yang panjang sebelum sesuatu sistem itu benar-benar matang dan teruji.

Untuk itu, pihak industri juga perlu melalui pelbagai proses modifikasi sebelum sesuatu sistem itu dapat disesuaikan.

Kecekapan aplikasi AI nanti sudah pasti menjadikan sesuatu operasi itu dapat disempurnakan dengan lebih lancar manakala kadar keberkesanan pula lebih tinggi tanpa kecelakaan. Misalnya penggunaan robot tempur menggantikan tentera biasa.

Biarpun teknologi AI nanti bakal mencetuskan revolusi baharu, ia sudah pasti mempunyi cabaran tersendiri. Seperti apa-apa jua teknologi baharu, ia juga terdedah kepada manipulasi selain kekangan yang tidak dijangka.

Sehubungan itu, ada perdebatan dalam kalangan penyelidik sejauh mana teknologi AI dapat meletakkan kepentingannya sebagai evolusi penentu pada medan perang akan datang.

* Zaki Salleh ialah penganalisis pertahanan dan telah menulis dalam bidang ini sejak 20 tahun lalu


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!