Rupa-rupanya ramai orang fobia dengan raja buah

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

PADA mulanya Merak Jalanan geli hati membaca berita mengenai sebuah bandar di Jerman kecoh gara-gara buah durian.

Kejadian itu berlaku di sebuah pejabat pos di bandar Bavarian, Schweinfurt. Polis, bomba dan pasukan kecemasan dipanggil.

Seramai 12 pekerja pos terpaksa dibawa ke hospital selepas terhidu bau yang menyengat daripada sebuah bungkusan. Setelah disiasat, bau itu rupa-rupanya datang daripada bungkusan mengandungi empat biji durian yang dikirim pelanggan.

Sebelum ini, program realiti Fear Factor pernah menampilkan durian sebagai salah satu makanan yang mesti ditelan oleh peserta. Biasanya peserta hanya dikehendaki makan bahagian haiwan yang menjijikkan.

Tahun lalu pula, sebuah muzium di Sweden menyenaraikan buah durian sebagai salah satu daripada 80 makanan paling menjijikkan di dunia dalam pamerannya, Disgusting Food.

Situasinya amat berbeza di negara kita. Kegilaan terhadap raja buah itu menyebabkan peminatnya sanggup membeli pada harga tidak masuk akal.

Durian digemari kerana rasanya yang lemak dan berkrim. Hanya satu masalah yang ditimbulkan buah berduri ini iaitu bau yang ditinggalkan.

Tidak lama dahulu, petani di Thailand berjaya menghasilkan buah durian tanpa bau, namun bukan semua orang suka. Ia ibarat keju yang mempunyai bau unik tersendiri, tanpa bau itu ia bukanlah keju yang sebenar.

Artikel Berkaitan:

Sesetengah orang menganggap bau durian semerbak dan nikmat, namun seorang rakan Merak Jalanan yang bencikan durian mengatakan baunya busuk seperti bawang masam atau stoking yang lama terendam.

Bau inilah juga yang menyebabkan buah ini dilarang dibawa masuk ke hotel, pengangkutan awam dan kapal terbang.

Kata orang tak kenal maka tak cinta, tapi ungkapan ini nampak tidak terpakai dalam semua perkara termasuk dalam hal raja buah itu.