Dron antara hobi dan jenayah

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

KISAH Boy Setan, lelaki warga Singapura yang diburu polis Malaysia kerana disyaki mengedar dadah menggunakan dron dari Johor Bahru ke Kranji, Singapura, tidak boleh dipandang ringan.

Ironinya, Singapura pada April lalu membenarkan perkhidmatan penghantaran pertama menggunakan dron dalam usaha mengurangkan kontak antara manusia semasa pandemik Covid-19.

Dron berkenaan bukan digunakan untuk menghantar barang terlarang sebaliknya membawa 2kg vitamin ke sebuah kapal milik Eastern Pacific Shipping, pelanggan berbayar pertama F-drones, syarikat yang menawarkan khidmat tersebut.

Perkembangan terbaharu di Selat Tebrau itu menggambarkan penyeludupan dadah kini semakin canggih dan terdesak di sebalik populariti dron sebagai teknologi kegemaran ramai.

Taktik penyeludupan dadah nampaknya sentiasa berubah-ubah dalam bentuk lebih licik dari masa ke masa.

Di sempadan Mexico-Amerika Syarikat, dron sudah pun popular dalam kartel dadah selain menggali terowong untuk menyeludup dadah.

Dron yang ada di pasaran Malaysia ketika ini walaupun kecil, namun ada yang boleh terbang sejauh 8km dalam tempoh 30 minit dengan membawa muatan sehingga 10kg.

Menerbangkan dron kawalan jauh menjadi kegilaan baharu di Malaysia sejak beberapa tahun lalu. Sungguhpun harganya boleh mencecah berbelas-belas ribu ringgit seunit, peminatnya sanggup membeli demi hobi.

Artikel Berkaitan:

Seorang peminat dron memberitahu, bukan kos yang difikirkan, sebaliknya kepuasan menerbangkan dron dan merakam panorama indah dari udara menjadi keutamaan.

Peminat dron diingatkan supaya tidak menggunakan teknologi itu untuk tujuan jenayah seperti mengedar dadah.

Banyak peraturan lain mengenai dron yang perlu dipatuhi seperti cuma dibenarkan terbang pada ketinggian 120 meter. Ia tidak boleh terbang di kawasan tumpuan ramai, bangunan tinggi atau kawasan keselamatan negara seperti pusat pentadbiran kerajaan di Putrajaya, Istana Negara, lapangan terbang dan pangkalan tentera.

Di sebalik hobi yang mengagumkan, ada sisi menakutkan jika dron disalahgunakan.