Melaka bersedia jika Liga Super bermula lebih awal

Zainal Abidin memberi arahan kepada dua pemainnya pada sesi latihan.
Zainal Abidin memberi arahan kepada dua pemainnya pada sesi latihan.
A
A
A

MELAKA United optimis mampu menyiapkan barisan pemain pada tahap kecergasan maksimum jika Liga Super dimulakan lebih awal iaitu pada Ogos berbanding September seperti dirancang sebelum ini.

Keyakinan itu diluahkan ketua jurulatihnya, Zainal Abidin Hassan selepas diberi kebenaran memulakan latihan pada 15 Jun lepas dan beliau percaya pasukannya bersedia dengan apa-apa jua ketetapan dibuat oleh Liga Bola Sepak Malaysia (MFL).

"Semua ini terpulang kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) dan MFL di atas apa jua keputusan yang akan diberitahu kelak cuma bagi saya memandangkan latihan sudah boleh dimulakan, kami ada masa mencukupi untuk siapkan pasukan.

"Saya menyambut baik apa jua arahan yang akan diberikan cuma saya tidak boleh nafikan jika liga bermula lebih awal (Ogos), ia memberikan sedikit kelegaan kepada pasukan dalam soal jadual perlawanan yang tidak begitu padat,” katanya dalam kenyataan media oleh MFL hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, terdapat kemungkinan aktiviti profesional bola sepak termasuk Liga Malaysia (Liga-M) kembali lebih awal dari dijangkakan, berdasarkan perkembangan terkini koronavirus (Covid-19) dalam negara.

Melaka United melakukan latihan pertama pada Isnin lepas di Stadium Hang Jebat, apabila mendapat kelulusan MFL, susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada 18 Mac lepas bagi mengawal penularan wabak Covid-19.

Zainal berkata, cabaran utama baginya adalah memberi penerangan taktikal kepada pemain kerana mereka dibahagikan dalam tiga kumpulan ketika latihan, berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) oleh MFL yang menghadkan 10 pemain sahaja dalam satu sesi latihan. - Bernama

Artikel Berkaitan: