Lelaki berlagak ‘polis’ larikan motosikal

Motosikal milik mangsa yang dilarikan suspek. Gambar kecil: Pil kuda yang dirampas daripada suspek.
Motosikal milik mangsa yang dilarikan suspek. Gambar kecil: Pil kuda yang dirampas daripada suspek.
A
A
A

TUMPAT - Seorang lelaki yang berlagak sebagai anggota polis ditahan selepas dipercayai melarikan motosikal milik seorang peniaga di Jalan Cabang Tiga Kebakat, Wakaf Bharu di sini awal pagi hari ini.

Suspek berusia 34 tahun berasal Kuantan, Pahang yang memiliki lima rekod jenayah lampau itu ditahan polis selepas menerima laporan mangsa pada jam 4.15 pagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Tumpat, Deputi Superintendan Mohd Razi Rosli berkata, kejadian berlaku pada jam 2.30 pagi ketika mangsa berusia 22 tahun menunggang motosikal jenis Demak C70 berwarna biru melalui jalan Cabang Tiga Kebakat, Wakaf Bharu.

“Mangsa ditahan oleh seorang lelaki yang menunggang motosikal.

"Lelaki tersebut memperkenalkan diri sebagai anggota polis dan mengarahkan mangsa memberhentikan motosikal selain memintanya menunjukkan kad pengenalan serta lesen.

“Mangsa kemudian memberhentikan motosikal untuk menunjukkan kad pengenalan dan lesen tersebut.

"Mangsa turut diarahkan suspek ke hadapan jalan sedikit di kawasan yang gelap.

“Mangsa yang berasa curiga dengan tindakan lelaki tersebut bertindak melarikan diri dan meninggalkan motosikal miliknya di lokasi itu,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, lebih kurang 10 minit, mangsa kembali ke tempat kejadian dan mendapati motosikalnya sudah tiada.

“Mangsa percaya lelaki tersebut melarikan motosikal itu dan membuat laporan di Balai Polis Wakaf Bharu pada jam 4.15 pagi.

"Bertindak atas maklumat sepasukan polis menahan seorang lelaki berusia 34 tahun dan menjumpai semula motosikal mangsa," katanya.

Menurutnya, pemeriksaan lanjut ke atas suspek turut menemui sembilan biji pil kuda dan sepeket plastik mengandungi hablur jernih dipercayai dadah.

“Hasil saringan awal air kencing suspek didapati positif dadah jenis metamphetamine.

"Semakan dilakukan mendapati suspek memiliki lima rekod lampau pelbagai kesalahan jenayah serta narkotik,” katanya.

Katanya, suspek ditahan untuk siasatan lanjut mengikut Seksyen 170, 379A Kanun Keseksaan dan Seksyen 12(2) serta 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.