Bekas pemain bola sepak wanita alami strok dapat perhatian

Normala menyerahkan sumbangan terkumpul Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia dan PAFA kepada Rozanawati dalam kunjungannya hari ini.
Normala menyerahkan sumbangan terkumpul Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia dan PAFA kepada Rozanawati dalam kunjungannya hari ini.
A
A
A

NASIB bekas pemain bola sepak wanita era 90-an, Rozanawati Yusoff yang hilang upaya akibat strok mendapat perhatian Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia yang tampil menyampaikan sumbangan kewangan hari ini.

Rozanawati, 48, mengalami lumpuh separuh badan dan hilang keupayaan bertutur akibat serangan darah tinggi sejak April 2018 lalu.

Beliau yang bermain di posisi pertahanan dalam skuad bola sepak wanita Perak pada 1990 hingga 1993 kini hanya mengharapkan ihsan ahli keluarga bagi membantu menguruskan keperluannya.

Kakaknya, Hamizun Yusoff, 58, berkata, adiknya itu pernah terlantar lebih sebulan, namun keadaan kesihatannya semakin pulih selepas beberapa kali menjalani rawatan fisioterapi.

"Sekarang ini dia sudah boleh berjalan perlahan-lahan dengan bantuan tongkat, makan pun baik, cuma masih menggunakan lampin pakai buang.

"Bagi memastikan keadaannya baik, kami menghantarnya menjalani fisioterapi dua kali seminggu di sebuah pusat rawatan swasta dengan bayaran sekitar RM160 bagi sekali rawatan," katanya ketika ditemui di kediaman mereka di Kampung Pengkalan Pegoh, Lahat hari ini.

Menurutnya, anak kesembilan daripada 12 beradik itu memang meminati sukan bola sepak sejak kecil dan tidak pernah terlepas mengikuti latihan meskipun ketika itu cuaca hujan.

"Dia adalah kebanggaan kami sekeluarga, masih ingat lagi betapa gembiranya kami apabila dia terpilih mewakili Perak dahulu, sebab itu kami tetap akan menjaganya dengan penuh keupayaan kami," katanya.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Presiden Persatuan Pemain Bola Sepak Wanita Malaysia, Normala Rashid berkata, sumbangan itu adalah hasil kutipan hampir 30 bekas pemain dan suntikan bantuan daripada Persatuan Bola Sepak Perak (PAFA).

"Sebaik pihak persatuan mendapat makluman keadaan beliau, kami terus menggerakkan usaha mencari dana dan alhamdulillah dalam tempoh sebulan ini kita dapat mengumpul lebih daripada RM5,000.

"Ini sebagai tanda penghargaan kita kepada beliau selaku bekas pemain dan pernah mengharumkan nama Perak dalam sukan bola sepak.

"Walaupun kami bukan seangkatan atau tidak bermain di era yang sama, atas dasar semangat kesukanan, semua nasib bekas pemain yang berdepan kesulitan seperti ini perlu dibantu dan mendapat pembelaan sewajarnya," katanya.

Selain mewakili Perak, Rozanawati turut pernah dipanggil ke latihan Pusat bagi mewakili Skuad Kebangsaan sekitar 1990-an lalu.