Arab Saudi laksana SOP ketat untuk jemaah haji

Kerajaan Arab Saudi akan memperkenalkan SOP ketat sebagai langkah membendung penularan Covid-19 terhadap 10,000 jemaah haji musim ini.
Kerajaan Arab Saudi akan memperkenalkan SOP ketat sebagai langkah membendung penularan Covid-19 terhadap 10,000 jemaah haji musim ini.
A
A
A

RIYADH - Kerajaan Arab Saudi akan memperkenalkan prosedur operasi standard (SOP) ketat dan langkah membendung wabak koronavirus (Covid-19) terhadap 10,000 jemaah haji yang dihadkan musim ini.

Menteri Kesihatan Arab Saudi, Dr Tawfiq Al-Rabiah berkata, inisiatif penting itu diambil bagi memastikan wabak Covid-19 dapat dikawal sepenuhnya daripada menular ke negara itu.

Menurutnya, jemaah haji yang dibenarkan melakukan ibadah itu juga perlu berusia kurang daripada 65 tahun dan tidak menghidap penyakit kronik.

"Bagi memastikan Covid-19 tidak menular dalam kalangan jemaah haji, Kementerian Kesihatan dengan kerjasama Kementerian Ibadah Haji dan Umrah telah merangka satu pelan bagi memastikan keselamatan semua jemaah.

"Pelan itu adalah merangkumi penyediaan langkah pencegahan dan protokol berjaga-jaga yang diperlukan bagi memastikan penganjuran musim ibadah haji yang selamat," katanya menerusi satu sidang media secara dalam talian bersama Menteri Ibadah Haji dan Umrah, Dr Muhammad Saleh Benten hari ini.

Sementara itu, Dr Muhammad Saleh menjangkakan jumlah jemaah haji dari kalangan rakyat tempatan tahun ini tidak akan melebihi angka 10,000 orang.

"Selain itu, kerajaan Arab Saudi juga mengesahkan tiada jemaah haji dari luar kerajaan itu akan dibenarkan menunaikan ibadah haji pada musim ini," katanya.

Setiap tahun, seramai 2.5 juta jemaah haji akan berhimpun di Tanah Suci Makkah dan Madinah bagi menunaikan ibadah penting bagi penganut beragama Islam.

Artikel Berkaitan:

Terdahulu, media melaporkan terdapat kemungkinan kerajaan Arab Saudi menangguhkan ibadah haji pada tahun ini susulan kebimbangan angka kes pandemik Covid-19 yang kembali meningkat di seluruh dunia sejak kebelakangan ini.

Ibadah haji yang merupakan salah satu dari rukum Islam dan wajib dilaksanakan umat Islam berkemampuan sekurang-kurangnya sekali seumur hidup, bagaimanapun kembali dibenarkan untuk dilaksanakan dengan hanya melibatkan 'sebilangan kecil' jemaah dari kalangan rakyat Arab Saudi.

Senarai protokol pencegahan Covid-19 untuk jemaah haji musim ini:

1) Tidak lebih 10,000 jemaah dibenarkan menunaikan ibadah haji tahun ini.

2) Semua jemaah perlu disaring sebelum tiba di Tanah Suci Makkah dan Madinah.

3) Hanya jemaah berusia kurang 65 tahun dibenarkan menunaikan ibadah haji.

4) Semua jemaah haji akan diminta untuk kuarantin diri masing-masing setelah selesai menunaikan ibadah haji.

5) Semua pekerja dan sukarelawan akan disaring sebelum ibadah haji bermula.

6) Kondisi kesihatan kesemua jemaah haji akan dipantau setiap hari.

7) Sebuah hospital akan dipersiapkan untuk sebarang perkara kecemasan yang berlaku sepanjang perlaksanaan ibadah haji.

8) Amalan penjarakan sosial akan diperketatkan sepanjang perlaksanaan ibadah haji.