Pulau Pinang benarkan solat jemaah, Aidiladha di masjid

Gambar kecil: AHMAD ZAKIYUDDIN
Gambar kecil: AHMAD ZAKIYUDDIN
A
A
A

GEORGETOWN - Kerajaan Pulau Pinang membenarkan solat fardu berjemaah dan sunat Aidiladha dilaksanakan mengikut keluasan ruang solat masjid.

Timbalan Ketua Menteri I Pulau Pinang, Datuk Ahmad Zakiyuddin Abdul Rahman berkata, keputusan itu dibuat selepas penelitian dan perbincangan bersama beberapa pihak berkaitan termasuk Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Pulau Pinang (JHEAINPP), Jabatan Mufti Pulau Pinang dan Jabatan Kesihatan Pulau Pinang.

Menurut Ahmad Zakiyuddin yang juga Yang Dipertua Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP), bilangan jemaah mesti mengikut keluasan ruang solat masjid atau surau dengan mengambil kira penjarakkan sosial sekurang-kurangnya 1 meter.

"Bagi solat sunat Aidiladha dan ibadah korban, ia berkuatkuasa pada 31 Julai ini.

"Kedua-dua ibadah itu perlu dilaksanakan dengan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan antaranya menjaga jarak, pengambilan suhu badan dan menggunakan sanitasi tangan," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, jemaah berusia 15 tahun hingga 70 tahun diberi keutamaan untuk menunaikan solat berjemaah di masjid atau surau.

"Jemaah berusia 71 tahun dan ke atas yang sihat boleh hadir solat tetapi tidak digalakkan manakala jemaah berusia kurang daripada 15 tahun tidak dibenarkan.

"Selain itu, jemaah yang tidak sihat tidak dibenarkan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, bagi solat jenazah hanya dibuka kepada ahli keluarga dan ahli kariah.

Beliau berkata, keputusan ini tertakluk kepada perubahan arahan oleh pihak kerajaan dari semasa ke semasa atau sehingga satu tempoh diisytiharkan keadaan kembali selamat.

"Kebenaran pelaksanaan akan ditarik balik dan dibatalkan serta-merta sekiranya didapati sebarang ketidakpatuhan terhadap garis panduan yang ditetapkan," katanya.