Kisah sebalik tempayan gantung

Unik apabila tempayan lama tergantung ketika Che Minah memproses tepung beras pulut kisar.
Unik apabila tempayan lama tergantung ketika Che Minah memproses tepung beras pulut kisar.
A
A
A

TUMPAT - Melihat tempayan tergantung di pekarangan rumah Che Minah satu tarikan unik.

Di sebalik tempayan tergantung itu, ada keringat sekeluarga Cina mencari rezeki di Wakaf Bharu, di sini.

Suasana ini hanya dapat dilihat setahun sekali kerana Che Minah atau nama sebenarnya Koh Mek Kin, 63, pembekal tepung pulut untuk kuih bakul.

Proses tradisional

Che Minah berkata, tiada yang peliknya tentang tempayan tergantung itu kerana dia memproses tepung pulut secara tradisional.

“Beginilah suasana di rumah kami dua minggu sebelum menjelangnya Tahun Baharu Cina.

“Kami sibuk memproses tepung pulut untuk membuat kuih bakul,” katanya.

Che Minah mengisar beras pulut.
Che Minah mengisar beras pulut.

Menurutnya, ramai pelanggannya lebih gemar menggunakan tepung beras pulut kisar berbanding tepung beras pulut yang banyak dijual di kedai.

Artikel Berkaitan:

Kuih bakul lebih sedap

Katanya, menggunakan beras pulut kisar menjadikan kuih bakul makanan tradisional masyarakat Cina lebih sedap.

Che Minah berkata, dia bersama kakak iparnya, Ewo mek, 68, menjadi pembekal tepung beras pulut kisar sejak 20 tahun lalu.

“Beras pulut direndam selama empat jam, kemudiannya dikisar menggunakan mesin pengisar elektrik dan dimasukkan ke dalam guni.

“Untuk bekukan tepung itu, saya kampitkan guni dengan kayu dan gantung tempayan berisi air sebagai alat pemberat.

“Sesetengah tempat gantungkan batu, guni pasir sebagai alat pemberat.

Son Kit bersama Che Minah selepas selesai mengampit tepung beras pulut.
Son Kit bersama Che Minah selepas selesai mengampit tepung beras pulut.

“Dengan cara ini beras pulut kisar dalam bentuk cecair cepat keras selepas airnya mengalami proses penyejatan, semalaman juga tepung beras pulut ini dikampit,” katanya.

Usia sudah meningkat

Menurutnya, memandangkan usianya sudah meningkat, dia terpaksa meminta anak saudaranya, Son Kit, 35, membantunya.

Katanya, dia sudah tidak larat mengangkat guni cecair tepung beras pulut ini yang setiap satunya 7 kilogram yang diletakkan di tempat khas untuk kampit tepung.

“Setiap guni itu, saya ambil upah RM7, ia sekadar pendapatan sampingan untuk musim perayaan.

“Hanya musim perayaan, penduduk mahu khidmat kami mengisar beras pulut,” katanya.