Perubahan kerajaan pengaruhi KDNK Terengganu

Dr Wan Mat Sulaiman
Dr Wan Mat Sulaiman
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Pertumbuhan ekonomi Terengganu pada 2018 yang rendah pada kadar 2.5 peratus dengan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) bernilai RM34.8 bilion (2017: 5.7 peratus, RM34.0 bilion) susulan pelbagai ketidaktentuan dan disebabkan perubahan teraju kerajaan di peringkat Persekutuan dan negeri.

Ketua Pegawai Eksekutif, Terengganu Strategic & Integrity Institute (TSIS), Dr Wan Mat Sulaiman berkata, pembentukan kerajaan baharu selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) lebih memberi fokus kepada aspek kesejahteraan sosial.

“Sesuai dengan fokus kerajaan Terengganu yang baharu dibentuk, isu-isu seperti pengembalian tanah; pemilikan tapak rumah dan rumah kediaman; pemberian air percuma; penjagaan kesihatan; pengasuhan kanak-kanak; pembangunan institusi pendidikan agama dan pengecualian cukai rumah kediaman telah diberikan keutamaan.

ARTIKEL BERKAITAN: PKR dakwa Pas gagal pacu pertumbuhan ekonomi Terengganu

“Bagaimanapun kerajaan Terengganu berjaya meningkatkan jumlah projek pada 2018 kepada 12 projek susulan pertambahan lima projek asing sekali gus meningkatkan jumlah anggaran pelaburan kepada RM4.9 bilion dan melibatkan 2,096 pekerjaan berbanding hanya RM177.8 juta dengan 344 pekerjaan pada 2017,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.

Selain itu, menurutnya, usaha meraih hasil juga dapat dilihat menerusi pengeluaran pada 2018 bagi sektor kayu balak meningkat kepada 442,424 meter padu (2017: 383,819), getah 23,796 tan metrik (2017: 7,152), padi 74,914 tan metrik (2017: 69,319) dan kenaf 1,731.6 tan metrik (2017: 830.2).

Katanya, jumlah ternakan kerbau, lembu, kambing dan bebiri juga meningkat kepada 134,401 pada 2018 berbanding 129,399 pada 2017.

“Pada 2018 sahaja, sebanyak 9,147 pencari kerja berjaya memperoleh pekerjaan manakala 9,738 orang lagi memperoleh pekerjaan pada 2019 menjadikan jumlah keseluruhannya bagi tempoh dua tahun ini ialah 18,885 pekerjaan.

Artikel Berkaitan:

“Usaha-usaha ini telah menurunkan kadar pengangguran di Terengganu pada 2019 di bawah paras 4.0 peratus iaitu 3.5 peratus sahaja berbanding 4.0 peratus, 4.2 peratus, 4.5 peratus dan 4.8 peratus masing-masing pada 2015, 2016, 2017 dan 2018,” katanya.

Beliau berkata, jumlah penduduk dengan pekerjaan berkemahiran dan berpendapatan tinggi terutamanya sebagai pengurus, profesional serta juruteknik dan profesional bersekutu juga bertambah daripada 100,400 orang pada 2017 kepada 102,100 (2018) dan 103,500 orang (2019).

Selain itu, katanya, dari segi peluang perniagaan pula, jumlah syarikat dan perniagaan yang beroperasi di Terengganu menunjukkan pertambahan kepada 37,666 pada 2018 berbanding 37,246 pada 2017.

Katanya, pada 2019 pula, hampir semua sektor menunjukkan pertambahan peratus perubahan bilangan berbanding pada 2018 iaitu sektor perkhidmatan (6.89 peratus), pembinaan (6.37 peratus), pembuatan (18.64 peratus), pertanian (8.62 peratus) serta perlombongan dan pengkuarian (17.51 peratus).

“Selari dengan KDNK perkapita pada 2018 yang meningkat kepada RM30,216 (2017: RM29,347; 2016: RM27,268), pendapatan isi rumah bulanan purata juga meningkat kepada RM6,737 pada 2018 berbanding RM6,238 pada 2017 dan RM5,776 pada 2016.

“Bilangan jenayah pula menurun kepada 1,532 kes pada 2018 berbanding 1,903 kes pada 2017 dan 2,087 kes pada 2016.

"Ini sekali gus meletakkan Terengganu sebagai negeri paling selamat dengan indeks jenayah paling rendah di Malaysia pada 2018,” katanya.

Terdahulu, Parti Keadilan Rakyat (PKR) Terengganu mendakwa kerajaan negeri gagal memacu pertumbuhan ekonomi negeri dan menyifatkan pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) antara tiga tercorot berbanding negeri lain.

Ketua Penerangan PKR Terengganu, Syed Mohd Al-Amin Tuan Sharif berkata, ia berdasarkan laporan pertumbuhan 2.5 peratus KDNK mengikut Laporan Poket Stats Negeri Terengganu Suku Ketiga 2019 Jabatan Perangkaan Malaysia, Kementerian Hal-Ehwal Ekonomi Malaysia.