X

Kindly register in order to view this article
!

Warga asing tiada keperluan berurus niaga di Pasar Borong KL

Kenderaan memasuki Pasar Borong KL akan diperiksa penguatkuasa DBKL yang ditugaskan membuat kawalan di pintu masuk.
A
A

KUALA LUMPUR - Notis pematuhan kebenaran masuk ke Pasar Borong Kuala Lumpur (PBKL) yang tular baru-baru ini merupakan panduan serta rujukan buat petugas Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang menjalankan kerja kawalan di kawasan itu.

Unit Media DBKL dalam satu kenyataan media hari ini menjelaskan, garis panduan pemantauan dan pemeriksaan di PBKL itu susulan lokasi itu tersenarai sebagai salah satu kluster koronavirus (Covid-19) yang berpunca daripada warga asing.

Kenyataan menyebut, sebelum ini DBKL telah menguatkuasakan undang-undang kecil (UUK) 16, UUK Pasar Borong (Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur) 2002 dengan tiada warga asing terlibat dalam sektor tersebut.

"Selaras dengan arahan itu, pekerja asing adalah tidak dibenarkan sama sekali bekerja di PBKL. Sementara warga asing yang bekerja dengan syarikat pembekal hanya dibenarkan masuk ke kawasan ke pasar borong dengan diiringi majikan (orang tempatan).

"Tiada keperluan pembeli warga asing masuk ke PBKL kerana kaedah jual beli dilakukan secara borong bukannya runcit yang boleh didapati di pasar lain seperti Pasar Harian Selayang yang berhampiran," memetik kenyataan itu.

Notis pematuhan kebenaran masuk Pasar Borong KL yang tular baru-baru ini.
Notis pematuhan kebenaran masuk Pasar Borong KL yang tular baru-baru ini.

Terdahulu, tular satu notis pematuhan kebenaran masuk ke PBKL bertarikh 19 Jun yang antara lain memaklumkan sebarang urusan ke dalam kawasan itu perlu menjalani pemeriksaan dan pendaftaran sebelum dibenarkan masuk.

Notis di bawah arahan Datuk Bandar, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan itu turut menyatakan semua pelesen dan pekerja hanya dibenarkan masuk dengan pas dikeluarkan DBKL.

Selain itu, pembeli warga asing hanya dibenarkan masuk jika mempunyai permit sah dan bersama warganegara sementara pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR) tidak dibenarkan memasuki kawasan itu.

Kenyataan menyebut, pemegang UNCHR juga tidak dibenarkan membeli barangan dalam kuantiti yang banyak bagi mengelak aktiviti jualan haram dijalankan.

" Ini termaktub dalam syarat pemegang kad UNCHR yang mereka tidak dibenarkan menjalankan perniagaan sepanjang dalam negara ini.

"Mengikut rekod, sebanyak 12 sitaan telah dilaksanakan kepada pemegang kad ini yang menjalankan perniagaan secara haram sekitar Pasar Borong KL dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan PKP Pemulihan," katanya.

Kenyataan sama menyebut, kawalan tersebut juga bagi menangkis persepsi awam bahawa PBKL masih dikuasai warga asing.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus