800kg ikan temenung dirampas di perairan Langkawi

Bot PPM memintas bot nelayan warga Thailand pada kedudukan 39 batu nautika dari Pulau Bumbung Besar dan menghala ke sempadan perairan laut Malaysia-Thailand semalam. Foto: Polis Marin Langkawi
Bot PPM memintas bot nelayan warga Thailand pada kedudukan 39 batu nautika dari Pulau Bumbung Besar dan menghala ke sempadan perairan laut Malaysia-Thailand semalam. Foto: Polis Marin Langkawi
A
A
A

LANGKAWI - Seramai lapan nelayan warga Thailand ditahan bersama 800 kilogram ikan temenung dalam Ops Benteng Covid dilakukan Pasukan Polis Marin (PPM) di perairan Selat Kuah di sini kira-kira jam 1 pagi tadi.

Komander PPM Wilayah Satu, Asisten Komisioner Rosman Ismail berkata, bot ronda pasukannya, PSC 18 telah terserempak dengan sebuah bot laju yang mencurigakan tanpa memasang lampu pengenalan.

Menurutnya, PSC 18 telah memintas bot berkenaan dan berjaya menahan bot itu di kedudukan 39 batu nautika dari Pulau Bumbung Besar dan menghala ke sempadan perairan laut Malaysia-Thailand.

"Pemeriksaan mendapati lapan lelaki disyaki warga Thailand berusia 19 hingga 42 tahun berada di dalam bot berkenaan.

"Hasil pemeriksaan lanjut, tekong bot berkenaan telah gagal mengemukakan lesen bot manakala yang lain gagal mengemukakan dokumen perjalanan diri yang sah," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Rosman berkata, semua lelaki berkenaan ditahan di bawah Akta Imigresen Seksyen 61(c) 1959/1963 bersama barang rampasan merupakan sebuah bot fiber (pukat ikan temenung) dan peralatan menangkap ikan serta hasil tangkapan ikan temenung.

"Anggaran nilai semua rampasan adalah sebanyak RM161,000 dan semua tangkapan dan rampasan diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Langkawi untuk tindakan selanjutnya," katanya.

Artikel Berkaitan: