Konsisten tarik balik tuduhan

A
A
A

Lebih kurang dua minggu lalu, apa yang hebat diperkatakan oleh orang ramai ialah berita tentang Mahkamah Tinggi melepaskan dan membebaskan bekas Ketua Menteri Sabah, Tan Sri Musa Aman yang telah didakwa dengan 46 pertuduhan pengubahan wang haram dan rasuah.

Dalam kes tersebut, pihak pendakwaan telah memohon kepada mahkamah untuk menarik balik pertuduhan-pertuduhan dan Hakim Mahkamah Tinggi yang bijaksana kemudian telah melepaskan dan membebaskan Musa.

Apabila berita melaporkan perkara tersebut, ramai yang marah dan seperti penarikan balik pertuduhan Riza Aziz sebelum ini, ia dipandang negatif oleh sebahagian besar rakyat di luar sana.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun pada hari yang sama telah mengeluarkan kenyataan menjelaskan mengapa keputusan tersebut dibuat.

Menurut Peguam Negara, beliau memutuskan untuk tidak meneruskan dengan pendakwaan itu kerana saksi-saksi tidak dapat dikesan, dokumen-dokumen relevan tidak didapati dan kerana afidavit yang telah diikrarkan oleh bekas Peguam Negara, Tan Sri Abdul Gani Patail.

Saya tidak berniat untuk mengulas mengenai alasan keputusan Peguam Negara. Dalam apa juga keadaan sekalipun, sememangnya Peguam Negara mempunyai budi bicara sama ada untuk meneruskan atau menarik balik apa-apa pertuduhan jenayah.

Malangnya, persepsi awam terhadap pentadbiran keadilan sekali lagi terkesan dan ia sesuatu yang perlu ditangani oleh semua pihak dalam sistem perundangan negara.

Apa yang saya ingin ulas adalah mengenai keputusan mahkamah untuk melepaskan dan membebaskan Musa. Dalam situasi di mana pihak pendakwaan tidak meneruskan pendakwaan terhadap seseorang, terdapat perbezaan dalam perintah yang akan dibuat oleh pihak mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Terdapat situasi di mana pembebasan penuh diberikan, manakala terdapat juga situasi tertuduh diberikan hanya dilepaskan tanpa dibebaskan atau DNAA.

Pembebasan

Sebelum ini terdapat tanggapan bahawa pembebasan penuh hanya akan diberikan sekiranya pihak pendakwa menarik balik pertuduhan selepas perbicaraan telah bermula tetapi dalam kes Musa, suatu pembebasan penuh telah diberikan walaupun dilaporkan bahawa perbicaraan belum bermula lagi.

Terdapat perbezaan signifikan antara pembebasan penuh dan DNAA. Sekiranya seseorang itu dilepaskan dan dibebaskan, orang itu tidak boleh didakwa semula untuk kesalahan sama dengan fakta yang sama.

Perkara 7 Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan dan prinsip itu juga telah termaktub dalam Kanun Acara Jenayah. Jika pendakwaan menarik balik kes kerana tiada bukti atau saksi dan jika terdapat bukti baharu atau saksi dijumpai, seseorang yang dilepaskan dan dibebaskan tidak boleh didakwa semula.

Mahkamah perlu konsisten dalam isu tersebut. Perlu ada ketentuan yang jelas mengenai perintah yang wajar dibuat sekiranya pihak pendakwaan tidak berniat untuk meneruskan pendakwaan lagi.

Sudah tentu prinsip asas bahawa seseorang itu tidak bersalah sehingga dibuktikan dan disabitkan adalah terpakai. Pada masa yang sama, prinsip undang-undang mengenai isu itu wajar ditentukan dengan muktamad supaya tidak ada ruang untuk apa-apa ketidaktentuan lagi.

Mungkin ia boleh membantu membina semula keyakinan ramai dalam sistem perundangan negara.

* Syahredzan Johan ialah peguam di sebuah firma di Kuala Lumpur