Air percuma hanya pada B40 bukan sebab ambil alih Splash

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada penerima ketika majlis Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Lembaga Zakat Selangor Sesi 2018 hari ini. Foto: Bernama
Menteri Besar Selangor Amirudin Shari (dua, kiri) menyampaikan sumbangan peralatan sekolah kepada penerima ketika majlis Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir dan Miskin Lembaga Zakat Selangor Sesi 2018 hari ini. Foto: Bernama
A
A
A

CYBERJAYA, - Kerajaan Selangor menolak dakwaan rancangan untuk menawarkan air percuma 25 meter padu hanya kepada kumpulan B40 berbanding kepada semua penduduk di negeri itu ketika ini dibuat susulan pengambilalihan Syarikat Pengeluar Air Sungai Selangor Sdn Bhd (Splash) oleh Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor).

Menteri Besar Selangor Amirudin Shari menegaskan pengambilalihan tersebut langsung tidak membabitkan sebarang peruntukan kewangan dari negeri tersebut sebaliknya ianya diambilalih oleh Air Selangor, syarikat tujuan khas yang ditubuhkan kerajaan negeri Selangor melalui pinjaman yang dibuat daripada kerajaan Persekutuan.

"Jadi (program pemberian air percuma) itu tak mempunyai kaitan dengan kesan pengambilalihan Splash sebagaimana anggapan beberapa pihak," katanya kepada media selepas Majlis Program Agihan Perdana Bantuan Pendidikan Asnaf Fakir & Miskin Lembaga Zakat Selangor Sesi 2018 di sini hari ini.

8 Ogos lalu, Air Selangor telah mengumumkan pengambilalihan Splash dengan nilai RM2.55 bilion yang mengakhiri episod penstrukturan air Selangor yang berlarutan sejak 10 tahun lalu.

Namun bekas Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim semalam berkata keputusan kerajaan Selangor dalam pemberian air percuma hanya kepada golongan B40 tidak mengejutkan malah sudah dijangkakannya terutama selepas kerajaan negeri membuat keputusan membayar RM2.55 bilion kepada Splash.

Abdul Khalid menganggap bayaran melebihi 10 kali ganda dari tawaran yang beliau lakukan ketika memegang jawatan Menteri Besar Selangor dahulu akan memberi beban yang besar kepada kerajaan negeri.

Berkenaan mekanisme pemberian air percuma kepada golongan B40 sebagaimana yang dibentangkan Amirudin pada pembentangan Belanjawan Selangor 2019 di Bangunan Dewan Negeri Selangor Jumaat lalu, Menteri Besar itu berkata perkara itu masih dalam peringkat perbincangan dengan Air Selangor.

"Kita akan lihat mekanisme tertentu dari segi permohonan dan sebagainya dan saya akan bincang dengan Air Selangor mengenai mekanisme terbaik bagi pelaksanaan program ini," katanya.

Artikel Berkaitan:

Amirudin yang juga Adun Sungai Tua berkata pihaknya juga sedang meneliti untuk kaedah terbaik pemberian air percuma selain daripada golongan B40.

"Kita akan lihat mekanisme tertentu melalui data-data akaun air yang kita ada yang mana mereka yang tidak termasuk dalam B40 tetapi layak mengikut syarat-syarat tertentu yang akan nanti diputuskan," katanya.

Dalam pada itu katanya beliau menjangkakan keputusan mekanisme pemberian air percuma tersebut akan diumunkan menjelang Mac atau April tahun hadapan.

Dalam pada itu, Lembaga Zakat Selangor hari ini memperuntukkan RM33.2 juta kepada lebih 60,000 orang anak-anak fakir dan miskin di seluruh Selangor bagi membiayai persiapan persekolahan sesi 2019 dalam bentuk bantuan kelengkapan dan yuran persekolahan. -Bernama