DBKL teruskan operasi gempur peniaga warga asing

Kedai gunting rambut dikendalikan warga Bangadesh disita DBKL semalam.
Kedai gunting rambut dikendalikan warga Bangadesh disita DBKL semalam.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengesan sebuah kedai gunting rambut milik orang tempatan disewakan kepada warga asing di Keramat Wangsa Setiawangsa di sini hari ini.

Datuk Bandaraya Kuala Lumpur, Datuk Nor Hisham Ahmad Dahlan berkata, pemeriksaan mendapati kedai itu dikendalikan seorang warga Bangladesh dengan sewa RM850 sebulan.

"Premis itu ditutup dan disita di bawah Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana dikendalikan oleh warga asing selain tidak mempunyai lesen sah daripada DBKL," katanya.

Dalam operasi berasingan semalam, kedai jahit dan gunting rambut di Setiawangsa dan Jalan Midah Timur Cheras turut diarah tutup oleh DBKL.

"Dua pekerja Bangladesh dikesan bekerja di kedai jahit yang salah seorang daripadanya sempat melarikan diri sementara seorang lagi gagal mengemukakan maklumat perniagaan sewaktu diminta oleh pegawai penguat kuasa.

"DBKL turut mengesan kedai gunting rambut di Jalan Midah Timur, Cheras dimiliki dan dikendalikan oleh warga asing dikenakan tindakan sama," katanya.

Nor Hisham berkata, dua penjaja warga Indonesia yang menjual air serta nasi campur sekitar Jalan Permaisuri 1 Cheras turut dikenakan tindakan semalam.

"Semua tindakan yang diambil adalah di bawah Seksyen 191(1)(v) dan Seksyen 101(1)(v) Akta Kerajaan Tempatan 1976 kerana menjalankan perniagaan tanpa kebenaran.

Artikel Berkaitan:

"DBKL menggalakkan kerjasama daripada orang awam untuk melaporkan kepada Pusat Panggilan Setempat DBKL di talian 1 800 88 3255 atau terus ke Pejabat Cawangan DBKL berhampiran jika mempunyai maklumat premis perniagaan orang asing," katanya.