X

Kindly register in order to view this article
!

Rayuan Zahid gabungkan pertuduhan pecah amanah ditolak

Dr Ahmad Zahid Hamidi
A
A

PUTRAJAYA - Bekas Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gagal dalam rayuannya terhadap keputusan menolak permohonannya untuk menggabungkan 12 pertuduhan pecah amanah (CBT) dihadapinya kepada hanya tiga pertuduhan berhubung dana milik Yayasan Akalbudi.

Ini susulan keputusan sebulat suara dibuat panel tiga hakim Mahkamah Rayuan hari ini yang menolak rayuan Ahmad Zahid terhadap keputusan Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, Collin Lawrence Sequerah pada 8 November tahun lepas.

Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mengetuai panel itu berkata, panel hakim mendapati tiada kesilapan daripada pihak Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan Ahmad Zahid, untuk membolehkan rayuan dikemukakan.

Dua lagi hakim yang bersidang dalam panel itu ialah P Ravinthran dan Datuk Ahmad Nasfy Yasin.

Ahli Parlimen Bagan Datuk itu, yang hadir di mahkamah merayu terhadap keputusan Mahkamah Tinggi menolak permohonannya untuk menggabungkan 12 pertuduhan CBT dihadapinya kepada hanya tiga pertuduhan berhubung dana milik Yayasan Akalbudi.

Hakim Sequerah membuat keputusan itu selepas mendapati 12 pertuduhan sedia ada terhadap Ahmad Zahid adalah jelas dan tertuduh boleh memahaminya untuk membuat persediaan bagi pembelaan dengan itu tidak menimbulkan sebarang isu prejudis.

Selain itu, beliau memutuskan Seksyen 153 (2) Kanun Prosedur Jenayah tidak menjadikan mandatori untuk pihak pendakwaan menggabungkan pertuduhan berkenaan.

Pada 19 Oktober dan 14 Disember 2018 serta pada 20 Februari tahun ini, Ahmad Zahid mengaku tidak bersalah terhadap sebanyak 47 pertuduhan, 12 daripadanya bagi CBT, lapan bagi rasuah dan 27 bagi pengubahan wang haram melibatkan puluhan juta ringgit milik Yayasan Akalbudi.

Perbicaraan di hadapan Hakim Sequerah ditetapkan bersambung pada 3 Julai.

Terdahulu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang mewakili Ahmad Zahid, berhujah permohonan untuk menggabungkan 12 pertuduhan kepada hanya tiga pertuduhan, bertujuan untuk mencegah ketidakadilan dan prejudis terhadap anak guamnya.

Timbalan Pendakwa Raya, Ahmad Sazilee Abdul Khairi bagaimanapun dalam hujahannya berkata, keadilan bukan berdasarkan persepsi tetapi mesti berdasarkan undang-undang.

"Tiada apa yang salah dengan pertuduhan itu. Hakim Mahkamah Tinggi juga berkata kes ini bukan diadili oleh juri atau oleh media tetapi diadili oleh hakim. Setiap pertuduhan dikenakan terhadap tertuduh perlu dibuktikan di mahkamah, jadi ia tidak akan menimbulkan prejudis terhadap beliau," katanya.

Semasa ditemui di luar mahkamah, Hisyam memberitahu media beliau akan merundingi anak guamnya sama ada akan memfailkan rayuan berhubung keputusan hari ini ke Mahkamah Persekutuan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!