Ketajaman Werner persis Vardy

Werner antara pemain yang bakal mewarnai saingan EPL.
Werner antara pemain yang bakal mewarnai saingan EPL.
A
A
A

ANTONIO Rudiger optimis Timo Werner mampu menjadi sehebat penyerang Leicester City, Jamie Vardy di Stamford Bridge dalam misi memantapkan cabaran skuad kendalian Frank Lampard pada saingan Liga Perdana Inggeris (EPL).

Pemain pertahanan The Blues itu berkata, ketajaman penyudah RB Leipzig berkenaan mirip seakan peledak The Foxes yang kini mengungguli senarai penjaring dengan 19 gol setakat ini.

"Werner akan menjadi duri dalam daging kepada setiap bahagian benteng pertahanan lawan pada saingan Liga Perdana Inggeris.

"Corak permainan RB Leipzig lebih kepada serangan balas, namun dalam mengasak benteng pertahanan lawan gaya Werner mirip seperti Vardy yang penuh muslihat sekali gus boleh menyebabkan pertahanan lawan berputih mata sekiranya leka," katanya.

Pada masa sama Rudiger teruja untuk digandingkan semula dengan bekas rakan sepasukan selama dua musim di VfB Stuttgart yang dalam proses perpindahan yang dilaporkan media bernilai 53 juta pound sterling (RM285. 61 juta) ke kelab London itu.

"Sama seperti warga Chelsea lain, saya juga gembira Werner memilih Stamford Bridge sebagai persinggahan seterusnya dan sejujurnya saya tidak sabar bekerjasama kembali dengan dia.

"Saya mengenali Werner sejak dia berusia 17 tahun, kehadirannya bersama kami akan membantu memperkuatkan cabaran Chelsea tidak hanya peringkat domestik tetapi juga Eropah.

"Prestasi dia pada musim pertama di Stuttgart cukup amat membanggakan biarpun arena bola sepak merupakan sesuatu yang baharu kepadanya.

Artikel Berkaitan:

"Namun dengan khidmat jurulatih berkualiti menjadikan keupayaannya meledak lebih banyak gol menjadikan sentuhan penyudahnya bertambah tajam," katanya.