Sembilan lelaki termasuk tiga remaja bawah umur didakwa di mahkamah

No Image Caption
A
A
A

PORT DICKSON - Sembilan lelaki termasuk tiga remaja bawah umur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret Port Dickson, hari ini terhadap pertuduhan menunggang motosikal secara melulu dan berbahaya pada Ahad lalu.

Kesemua tertuduh, dan tiga tertuduh bawah umur membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan secara berasingan di hadapan Majistret, Siti Huzaifah Abdul Talib.

Berdasarkan kertas pertuduhan, kesemua tertuduh didakwa sebagai penunggang motosikal telah menunggang motosikal secara melulu yang berbahaya kepada awam pada jam lebih kurang jam 2.30 hingga 3.30 pagi di Jalan Bypass Port Dickson di sini, Ahad lalu,

Kesemua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 42(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang boleh dihukum penjara tidak lebih lima tahun dan denda tidak kurang RM5,000 dan tidak lebih RM15,000 serta hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang dua tahun dan jika lesen memandu percubaan ia boleh dibatalkan, jika disabitkan kesalahan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Hafizah Zainul Hashimi sementara barisan peguam yang hadir adalah K. Sheela dan Veni Paul bagi mewakili anak guam masing-masing.

Bagaimanapun Rizki yang merupakan warganegara Indonesia tidak diwakili peguam.

Mahkamah membenarkan tertuduh lain diikat jamin RM2,200 dengan seorang penjamin kecuali lelaki warga Indonesia tersebut dan menetapkan sebutan kes pada 27 Julai depan.

Pada Ahad lalu, sekumpulan lelaki ditahan dalam Op Samseng Jalanan di Jalan Bypass Port Dickson di sini selepas didapati bersaing sesama sendiri dan memotong antara satu sama lain.

Artikel Berkaitan: