12 pekerja pos terima rawatan sebab 'mabuk durian'

Gara-gara durian, 12 pekerja pos di Jerman menerima rawatan sementara puluhan lagi terpaksa dipindahkan.
Gara-gara durian, 12 pekerja pos di Jerman menerima rawatan sementara puluhan lagi terpaksa dipindahkan.
A
A
A

BAVARIA - Seramai 12 pekerja pos di Jerman menerima rawatan sementara puluhan lagi terpaksa dipindahkan gara-gara sebuah bungkusan berisi durian.

Pasukan polis, bomba dan perkhidmatan kecemasan dikejarkan ke sebuah pejabat pos di bandar Schweinfurt, Bavaria pada Sabtu lalu selepas pekerja menghidu bau amat kuat dari sebuah bungkusan.

"Kerana kandungan yang tidak diketahui, pada awalnya tidak jelas sama ada bungkusan tersebut berisiko besar atau tidak," kata kenyataan jabatan polis Schweinfurt.

Seluruh bangunan dikosongkan dan kira-kira 60 pekerja diarahkan keluar. Hasil pemeriksaan mendapati bungkusan mengandungi empat biji durian Thailand.

Bungkusan durian tersebut milik seorang lelaki berusia 50 tahun yang memperoleh durian itu daripada rakannya di Nuremberg.

Buah berduri dengan tekstur berkrim itu sememangnya popular di seluruh Asia Tenggara, namun baunya yang kuat tidak digemari ramai.

Singapura misalnya, melarang durian dibawa ke dalam sistem kereta api bawah tanah dan kebanyakan hotel melarang membawa masuk durian disebabkan baunya yang disamakan oleh sesetengah pengkritik seperti makanan busuk atau stoking kotor.

"Seramai 12 orang pekerja pos yang mengadu mual terpaksa diberi rawatan di lokasi," kata polis di Schweinfurt sambil menambah enam lagi dibawa ke hospital sebagai langkah berjaga-jaga.

Artikel Berkaitan:

Enam ambulans, lima jentera bomba dan dua kenderaan kecemasan dikejarkan ke tempat kejadian. Tiga jabatan bomba berasingan turut terlibat dalam insiden itu.

Raja buah itu akhirnya dihantar kepada penerima sepatutnya.

Ini bukan kali pertama durian menimbulkan panik. Tahun lalu kakitangan perpustakaan Universiti Canberra terpaksa mengosongkan bangunan kerana disyaki berlaku kebocoran gas namun siasatan mendedahkan bau tersebut datangnya daripada buah durian.

Pada November 2018, kargo berisi durian menyebabkan sebuah pesawat Indonesia terkandas sementara apabila penumpang mengadu bau kuat durian di dalam kabin. - Agensi