PGA Batalion 7 rampas 'stok' biri-biri aqiqah, korban

PGA Batalion 7 Kuantan merampas 50 ekor biri-biri seludup yang dipercayai untuk tujuan aqiqah dan Hari Raya Aidiladha selepas menahan sebuah lori di Kampung Gual Pasir.
PGA Batalion 7 Kuantan merampas 50 ekor biri-biri seludup yang dipercayai untuk tujuan aqiqah dan Hari Raya Aidiladha selepas menahan sebuah lori di Kampung Gual Pasir.
A
A
A

RANTAU PANJANG - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 7 Kuantan merampas 50 ekor biri-biri seludup yang dipercayai untuk tujuan aqiqah dan Hari Raya Aidiladha selepas menahan sebuah lori di Kampung Gual Pasir di sini awal pagi tadi.

Operasi jam 2.05 pagi itu, PGA Batalion 7 Kuantan turut menahan seorang pemandu lori berusia 27 tahun yang merupakan warga tempatan bagi membantu siasatan berhubung kejadian tersebut.

Pegawai Pemerintah PGA Batalion 7 Kuantan, Superintendan Azhari Nusi berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan haiwan itu dibawa masuk dalam kuantiti yang kecil bagi mengelakkan dicekup pihak berkuasa.

"Rampasan ini adalah hasil rondaan rutin yang dijalankan oleh anggota PGA Batalion 7," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Menurutnya, rampasan biri-biri termasuk lori dianggarkan berjumlah RM120,000.

Katanya, hasil pemeriksaan lanjut ke atas lori membawa kepada penemuan 50 ekor biri-biri seludup terbongkar.

Azhari berkata, kes tersebut disiasat bawah Seksyen 36 (1) Akta Binatang 1953.

Katanya, kesemua binatang rampasan itu diserahkan kepada Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) untuk tindakan lanjut.

Artikel Berkaitan:

"Kita akan terus melipat gandakan operasi dalam usaha mengekang aktiviti jenayah lintas sempadan," katanya.