X

Kindly register in order to view this article
!

PH Simpang Renggam kekal sokong Mazlee Malik

Mohd Said membacakan keputusan PH Simpang Renggam yang terus menyokong Dr Mazlee Malik sebagai Ahli Parlimen Simpang Renggam selepas mempengerusikan mesyuarat PH Simpang Renggam di bandar Simpang Renggam, Kluang.
A
A

KLUANG - Pakatan Harapan (PH) Simpang Renggam memutuskan untuk kekal menyokong Ahli Parlimennya, Dr Mazlee Malik walaupun sudah dipecat daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bulan lalu.

Persetujuan semua parti komponen PH Simpang Renggam itu dicapai menerusi satu mesyuarat khas PH Simpang Renggam baru-baru ini yang dipengerusikan Ketua Parti Amanah Negara (Amanah) bahagian tersebut, Mohd Said Jonit.

Menurut Mohd Said, walaupun Bersatu sudah memutuskan untuk meninggalkan PH namun Mazlee dilihat antara kepimpinan yang cenderung untuk meneruskan perjuangan bersama-sama dengan PH.

Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Mahkota berkata, walaupun Mazlee sudah dipinggirkan daripada Bersatu namun tekanan terus diberikan kepadanya termasuk ahli-ahli parti bahagian itu untuk tidak menyokongnya.

"PH Simpang Renggam mengutuk keras semua tindakan berkenaan dan tekanan yang diberikan terhadap Dr Mazlee Malik melalui Bersatu.

"Semua ini hanya akan menguatkan lagi sokongan rakyat di Simpang Renggam dan memberi keyakinan kepada komponen PH Simpang Renggam," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada 28 Mei lalu Maszlee yang merupakan Ahli Majlis Tertinggi Bersatu dipecat bersama-sama empat pemimpin tertinggi parti itu termasuk bekas Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad selain Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman dan Datuk Amiruddin Hamzah.

Pemecatan mereka mendapat tentangan hebat Bersatu Bahagian Simpang Renggam kerana dianggap tidak sah dan sehari selepas itu bahagian tersebut mengeluarkan kenyataan tetap menyokong Mazlee yang didakwa mereka perkara berkenaan tidak mengikut perlembagaan parti.

Susulan itu juga Mazlee dipecat daripada jawatan Ketua Bersatu Bahagian Simpang Renggam pada 5 Jun lalu dan tempatnya digantikan oleh Timbalannnya, Azman Mohd Umar sebagai Pemangku Ketua Bersatu Bahagian Simpang Renggam.

Pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14), Mazlee yang bertanding atas tiket PKR menewaskan penyandang kerusi Parlimen Simpang Renggam bagi dua penggal berturut-turut, Datuk Liang Teck Meng (MCA) dengan majoriti 3,475 undi.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf