X

Kindly register in order to view this article
!

Datuk Seri dalang edar dadah

Antara dadah yang dirampas polis dalam serbuan baru-baru ini.
A
A

SHAH ALAM - Polis berjaya menumpaskan dua sindiket dadah selepas merampas dadah bernilai RM430,072.80 dalam serbuan berasingan di sekitar Selangor baru-baru ini.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Selangor, Asisten Komisioner Abdul Latiff Mehat berkata, dalam serbuan pertama di Taman Seri Gombak, Batu Caves pada 16 Jun lalu, polis berjaya menahan lima lelaki.

Menurutnya, serbuan itu membawa rampasan dadah jenis syabu seberat 10.5 kilogram (kg) selain menyita dua buah kereta jenis Toyota Vios dan BMW 523i.

"Siasatan mendapati salah seorang suspek adalah bergelar Datuk Seri yang disyaki menjadi dalang kegiatan pengedaran dadah yang mula aktif sejak enam bulan lalu.

"Malah dalang ini juga dikesan positif dadah bersama dua lagi suspek lain," katanya kepada Sinar Harian hari ini.

Abdul Latiff
Abdul Latiff

Abdul Latiff berkata, dalam serbuan di Petaling Jaya serta Ampang Jaya pada 18 Jun, polis menahan lima individu termasuk dua wanita.

Beliau berkata, dalam serbuan itu polis merampas ganja kira-kira 3.7kg dan tiga anak pokok ganja.

"Sindiket yang disyaki aktif sejak setahun lalu dipercayai didalangi sepasang suami isteri," katanya.

Dalam kes berasingan katanya, polis menahan seorang lelaki di Jalan Besar Puchong Hartamas, Subang Jaya kira-kira jam 11.55 pagi semalam dan merampas dadah jenis heroin seberat 300 gram.

Abdul Latiff berkata, kesemua suspek ditahan reman untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952.

Antara rampasan pokok ganja dalam serbuan di Ampang Jaya.
Antara rampasan pokok ganja dalam serbuan di Ampang Jaya.

"Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan terus berusaha mengesan saki baki ahli sindiket yang terlibat untuk dibawa ke muka pengadilan.

"JSJN akan terus melaksanakan operasi terancang dalam usaha pembanterasan sindiket dadah," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!