X

Kindly register in order to view this article
!

Sampah haram bisnes lumayan, kongsi gelap, gengster antara dalang

Operator tapak sampah haram mampu meraih keuntungan sehingga mencecah lebih RM1,000 sehari.
A
A

KUALA LUMPUR - Pengusaha atau operator tapak sampah haram mampu meraih keuntungan sehingga mencecah lebih RM1,000 sehari malah kebanyakan mereka mempunyai kaitan dengan kumpulan gengster, samseng dan kongsi gelap.

Bukan itu sahaja, sebahagian pemandu lori yang menjadi pemungut sisa juga dipercayai memiliki kaitan dengan kumpulan kongsi gelap tertentu dan ada di antara mereka yang memberikan pengakuan sebagai ahli kepada kumpulan haram ketika rakaman percakapan dilakukan.

“Untuk lebih mudah mengenali mereka, terdapat lambang atau logo tertentu yang ditampal di bahagian hadapan lori mereka sebagai tanda bahawa mereka adalah dari sesebuah kumpulan tertentu,” dedah Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Kawal Selia Perbadanan Pengurusan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp), Mohd Zaki Harry Susanto kepada Bernama.

Katanya, terdapat juga kes di mana penguat kuasa SWCorp menerima ugutan, apabila membuat rondaan di kawasan tapak sampah haram dan lebih teruk lagi, mereka pernah diserang oleh kumpulan yang dipercayai menjadi penjaga kawasan tertentu.

Menjelas lanjut perkara itu beliau berkata, kewujudan banyak lokasi sampah haram antara lain didorong faktor penjimatan kos berbanding perjalanan ke tapak pelupusan sah serta masa yang lebih singkat tanpa perlu menunggu giliran lebih lama selain kadar yang lebih murah.

“Caj yang dikutip oleh operator lokasi sampah haram tidak menentu. Kebiasaannya ia bergantung kepada jenis sisa yang dibawa selain boleh juga berlaku penentuan harga berdasarkan perundingan, kebiasaannya caj yang dikenakan adalah sekitar RM10 ke RM60 bagi setiap trip,” katanya.

Memberikan contoh kadar caj lokasi pelupusan sisa yang sah di Kuala Lumpur beliau berkata, tapak pelupusan di Landfill Bukit Tagar (sisa lengai sahaja), caj yang dikenakan ialah RM49 setan manakala di Inert Landfill Sungai Kertas pula sebanyak RM11 setan dan di Putrajaya pula misalnya di Inert Landfill Dengkil (RM10 setan) dan Lanfill Tanjung 12 (RM55 setan).

Berdasarkan catatan di dalam buku rekod atau buku resit yang disita dalam kebanyakan Ops Sampah Haram, Mohd Zaki berkata, kadar keuntungan pengusaha tapak sampah haram adalah bergantung kepada kekerapan kemasukan lori yang menggunakan satu-satu tapak.

“Bagi kawasan yang aktif, jumlah keuntungan dianggarkan melebihi RM1,000 sehari manakala bagi yang kurang aktif sekali pun, mereka masih boleh mendapat keuntungan dalam ratusan ringgit sehari,” katanya.

Ditanya mengenai modus operandi beliau berkata, berdasarkan maklumat risikan, pengusaha atau operator sampah haram akan memulakan perancangan mereka dengan mengenal pasti lokasi yang dilihat berpotensi menjadi tapak pelupusan sampah haram.

“Kebiasaannya, mereka memilih kawasan yang terbiar dan tersorok tanpa mengira sama ada ia adalah tanah milik kerajaan, individu, tanah rizab atau tanah tanpa pemilik,” katanya.

Setelah lokasi dikenal pasti, pengusaha tapak sampah haram akan menceroboh kawasan tersebut dengan membersihkan serta menggali lubang untuk dijadikan tempat melonggokkan sisa, sebelum ia dikambus semula dengan tanah dan diratakan apabila penuh.

Malah dalam banyak kes Mohd Zaki berkata, ada juga yang bertindak memagar lokasi tersebut agar aktiviti yang berlaku di dalam kawasan tersebut tidak terlihat dari luar dan menerima semua jenis sisa, dengan syarat pengguna tapak sampah haram tersebut bersetuju dengan kadar bayaran (caj) yang dikenakan.

“Selepas itu, mereka akan mula menghebahkan kewujudan tapak baru pelupusan sampah kepada pemandu lori yang menjadi pemungut sisa. Hebahan kebiasaannya dibuat melalui aplikasi WhatsApp di dalam kumpulan tertentu,” katanya dan menambah ada juga yang menghubungi pemandu secara terus melalui panggilan telefon atau secara bersemuka.

Menurut beliau, lima kawasan hotspot tapak sampah haram di sekitar ibu negara adalah di Jalan Gombak, bersebelahan KL Traders Square; bersebelahan Projek MRT, Jalan 1/40, Pintasan Segambut, Mukim Batu; Jalan Besi Kawi, Sungai Besi; Jalan 1/141, Kampung Malaysia; dan Taman Danau Desa; kelima-lima kawasan itu telah diambil tindakan dan ditutup.

Kesalahan itu katanya, tertakluk di bawah Seksyen 71(1) Akta 672 kerana melonggokkan sisa di tempat tidak dibenarkan, yang membawa hukuman denda minimum RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak kurang daripada enam bulan dan tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Sebanyak 2,579 tapak sampah haram telah dikesan dan diambil tindakan tutup bagi tempoh dari tahun 2014 hingga April tahun ini, manakala bagi tempoh Januari hingga April tahun ini sahaja, sebanyak 798 Op Sampah Haram telah dilakukan pihaknya, yang turut melibatkan beberapa agensi penguatkuasa lain. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!