Petronas beri aku janji tarik balik rayuan

No Image Caption
A
A
A

PUTRAJAYA - [DIKEMASKINI] Mahkamah Rayuan hari ini dimaklumkan bahawa Petroliam Nasional Berhad (Petronas) telah memberikan aku janji untuk menarik balik rayuannya terhadap keputusan Mahkamah Tinggi Kuching bahawa Sarawak berhak mengutip cukai jualan bagi produk petroleum.

Pegawai Undang-Undang Negeri Sarawak, Datuk Seri J C Fong memberitahu panel tiga hakim bahawa berikutan aku janji telah diberikan oleh Petronas untuk menarik balik rayuan itu, kerajaan Sarawak tidak membantah permohonan penangguhan dikemukakan syarikat minyak dan gas itu.

Fong mewakili kerajaan negeri Sarawak dan pengawal cukai jualan negeri Sarawak.

Terdahulu, peguam mewakili Petronas, Datuk Malik Imtiaz Sarwar memaklumkan mahkamah menerusi surat bertarikh semalam bahawa Petronas memohon pendengaran rayuan ditangguhkan atas alasan seperti yang dinyatakan dalam surat itu.

Atas alasan itu, pendengaran dijadualkan hari ini telah dikembalikan semula untuk sebutan perkara itu kata Malik, yang kemudian memohon mahkamah menetapkan 3 Ogos untuk sebutan rayuan.

Ketika ditemui di luar mahkamah, Malik memberitahu, pemberita rayuan itu ditangguhkan ke 3 Ogos untuk membolehkan Petronas memuktamadkan terma-terma penyelesaian dengan kerajaan Sarawak.

Malik berkata, berdasarkan surat itu Petronas telah memberikan aku janji untuk menarik balik rayuan itu sebelum 3 Ogos.

Beliau berkata, perjanjian itu yang menunggu untuk penyelesaian sedang dimuktamadkan dan perlu memenuhi proses dalaman.

Artikel Berkaitan:

Hakim Datuk Seri Kamaludin Md Said yang mengetuai panel hakim mahkamah rayuan membenarkan penangguhan dan menetapkan 3 Ogos untuk sebutan.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah P Ravinthran dan Datuk Abu Bakar Jais.

Pada 13 Mac tahun ini, Mahkamah Tinggi Kuching memutuskan Perkara 95B (3) Perlembagaan Persekutuan memperuntukkan bahawa Dewan Undangan Negeri Sabah dan Sarawak dibenarkan menggubal undang-undang untuk mengenakan cukai jualan.

Hakim Mahkamah Tinggi, Azhahari Kamal Ramli berkata, peruntukan itu menetapkan bahawa mana-mana cukai jualan dikuatkuasakan oleh undang-undang negeri disifatkan sebagai antara perkara yang ditetapkan dalam senarai negeri, Ordinan Cukai Jualan Negeri dan mana-mana perundangan tambahan disenaraikan di bawahnya adalah berperlembagaan dan sah.

Beliau menolak permohonan semakan kehakiman oleh Petronas untuk membatalkan notis penilaian dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak memohon syarikat itu membayar SST berjumlah RM1.3 bilion.

Petronas turut memohon antara lain pengisytiharan bahawa bahagian tertentu dalam notis itu adalah ultra vires pada Perlembagaan Persekutuan dan adalah batal dan tidak sah dan juga perintah certiorari bahawa notis bertarikh 28 Ogos 2019, 7 Oktober 2019 dan 13 November 2019 dikeluarkan kerajaan negeri Sarawak kepada Petronas dibatalkan.

Malik juga memberitahu media bahawa saman kerajaan negeri Sarawak terhadap Petronas bagi SST belum dibayar itu ditetapkan untuk pengurusan kes Jumaat depan. - Bernama