PH akan terus bawa agenda perubahan, kata Mujahid

Mujahid Yusof
Mujahid Yusof
A
A
A

SHAH ALAM - Sesiapa sahaja calon pilihan Pakatan Harapan (PH) yang kini dikenali sebagai PH Plus untuk jawatan Perdana Menteri tidak dapat lari daripada keperluan dan ketetapan agenda perubahan.

Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, perubahan bukan hanya pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) tetapi kekuatannya terbina sejak Pakatan Rakyat dan Barisan Alternatif pada tahun 1999.

Menurut bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri itu, pimpinan PH berada dalam perjuangan yang panjang kerana mahukan perubahan berlaku termasuk pemulihan institusi.

“Oleh sebab itu, teras dan asas perjuangan kita masih tidak berubah kepada cita-cita ini,” katanya dalam slot bicara pendek bertajuk 'Solidkah Pakatan Harapan?' di YouTube Dr Mujahid Rawa Channel malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim telah meletakkan asas kukuh dengan perjuangan jelas apa yang negara ini mahukan.

“Kita melaluinya dengan pelbagai kesukaran termasuk Anwar dengan jiwa penuh besarnya menempuh pelbagai kesusahan dan keperitan.

“Oleh itu, ayuh kita fokus apa yang perlu kita ambil dan sasaran kita. Ayuh kita fokus untuk membina semula asas-asas tertegaknya PH ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mujahid yakin PKR, Amanah dan DAP sebagai teras PH bersama Parti Warisan Sabah (Warisan) dan lain-lain parti gabungan akan terus membina cita-cita untuk mencapai kejayaan.

Artikel Berkaitan:

Sehubungan itu, beliau menyeru agar momentum sokongan rakyat terhadap PH Plus dikekalkan bagi memulihkan negara.

“Tanpa kita lupa mandat yang dahulu pasti kita kena ambil balik. Kita satukan fokus kita. PN (Perikatan Nasional) semakin longgar dan semakin tidak menunjukkan cita-cita yang jelas,” katanya.

Mengulas pentingnya mandat rakyat yang diperoleh PH pada PRU14 diambil kembali, Mujahid mengulangi pendirian Presiden Amanah, Mohamad Sabu bahawa usaha tersebut bukannya kerana jawatan.

“Saya bersama semua pemimpin termasuk Datuk Seri Anwar Ibrahim secara jelas menyebut tidak timbul mahu lari daripada mandat rakyat.

“Kita mahu mandat yang telah diambil seperti ditegaskan Presiden Amanah, bukannya soal ambil mandat untuk jawatan tetapi ambil mandat untuk kembalikan hak kepada berjuta pengundi yang telah memberikan kepercayaan kepada PH,” katanya.