Kes denggi, chikungunya di Pulau Pinang meningkat minggu lepas

Sebanyak 410 kes denggi dilaporkan sehingga 13 Jun lepas. - Foto 123RF
Sebanyak 410 kes denggi dilaporkan sehingga 13 Jun lepas. - Foto 123RF
A
A
A

GEORGETOWN - Kes denggi di Pulau Pinang mencatatkan peningkatan sebanyak 27.78 peratus dengan 23 kes pada minggu ke-24 berbanding minggu sebelumnya iaitu hanya 18 kes.

Exco Pertanian dan Industri Asas Tani, Pembangunan Luar Bandar dan Kesihatan, Dr Norlela Ariffin berkata, jumlah itu menunjukkan peningkatan sebanyak lima kes bagi minggu ke-24 iaitu dari 7 hingga 13 Jun lalu.

Menurutnya, secara kumulatif sehingga 13 Jun, 410 kes denggi dilaporkan berbanding 2,892 kes bagi tempoh yang sama pada tahun lalu iaitu penurunan sebanyak 2,482 kes (85.82 peratus).

"Terdapat satu kematian demam denggi dilaporkan sehingga minggu ke-24 bagi tahun ini berbanding lapan kematian bagi tempoh yang sama pada tahun 2019. Ia menunjukkan penurunan sebanyak tujuh kes kematian (87.5 peratus).

"Pada 19 Jun lalu terdapat satu lokaliti hotspot di Taman Air Itam dan satu lokaliti wabak tidak terkawal iaitu di Desa Baiduri, manakala enam lokaliti wabak terkawal adalah di Solok Free School; Medan Angsana; Desa Mawar; Jalan Angsana, All Season Park Condo dan Jalan Lim Lean Teng. Kesemuanya di daerah Timur Laut," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Bagi kes chikungunya pula, Norlela berkata, sebanyak 292 kes dilaporkan pada 19 Jun lalu.

Menurutnya, secara kumulatif sehingga 13 Jun lalu, sebanyak 212 kes chikungunya dilaporkan.

Artikel Berkaitan:

Dr Norlela Ariffin
Dr Norlela Ariffin

"Pada ketika ini terdapat tiga lokaliti hotspot iaitu di Flat Padang Tembak, Lorong Sempadan dan Taman Air Itam.

"Sebanyak 17 lokaliti dikenal pasti sebagai lokaliti wabak terkawal antaranya Kampung Pisang, Tanjung Court, Jalan Goh Guan Ho, Desa Baiduri, Kampung Jalan Perak, Jalan Lahat, Greenlane Park, Sri Impian dan Taman Terubong Jaya. Semuanya dalam daerah Timur Laut," katanya.

Katanya, masyarakat diingatkan untuk terus mengambil langkah-langkah yang disarankan Jabatan Kesihatan Negeri Pulau Pinang bagi menghentikan penularan kes demam denggi dan chikungunya.

"Antaranya menjalankan gotong-royong di kawasan rumah, memberikan kerjasama dengan membenarkan anggota kesihatan menjalankan semburan kabus di dalam rumah dan mendapatkan rawatan segera di klinik atau hospital apabila mengalami demam dan tanda-tanda demam denggi," katanya.