Bisnes penerbangan kini alami tempoh sukar

Syarikat AirAsia antara syarikat penerbangan di Malaysia terpaksa mengurangkan pekerja bagi meminimumkan kos operasi yang terkesan akibat Covid-19.
Syarikat AirAsia antara syarikat penerbangan di Malaysia terpaksa mengurangkan pekerja bagi meminimumkan kos operasi yang terkesan akibat Covid-19.
A
A
A

SHAH ALAM - Kedudukan industri penerbangan di Malaysia dilihat berada dalam tempoh sukar ketika ini walaupun negara dalam fasa pemulihan ekoran penularan pandemik koronavirus (Covid-19).

Fenomena itu bukan sahaja dihadapi oleh syarikat penerbangan negara ini terutama tiga syarikat penerbangan terbesar Malaysia iaitu Malaysia Airlines, AirAsia dan Malindo Air, bahkan kepada kesemua syarikat penerbangan lain di dunia.

Ia ekoran pelaksanaan perintah berkurung di negara luar dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Malaysia bagi mengekang penularan wabak itu.

Seorang penganalisis ekonomi, Profesor Madya Dr Ahmed Razman Abdul Latiff berkata, ketika ini syarikat penerbangan berdepan dengan keadaan yang sangat mencabar.

Ahmed Razman
Ahmed Razman

“Mereka perlu pastikan mempunyai kecairan atau tunai yang cukup untuk menampung kos operasi di samping perlu juga membayar hutang pembelian kapal terbang.

“Modal perniagaan mereka kebanyakannya dalam bentuk hutang untuk pembelian pesawat. Jadi salah satu cara untuk membayar semula hutang itu sudah tentu dengan cara memastikan kapal terbang mereka sentiasa terbang membawa penumpang,” katanya kepada Sinar Harian di sini semalam.

Ahmed Razman berkata, keadaan itu memaksa AirAsia mengurangkan pekerja bagi meminimumkan kos operasi.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, meskipun ketika ini rakyat sudah keluar melancong susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang bermula 10 Jun lalu, namun syarikat penerbangan masih gagal memenuhkan kapasiti kapal terbang disebabkan harga tiket yang dijual agak tinggi.

“Oleh kerana harga tiket yang tinggi, tidak semua rakyat sanggup menggunakan perkhidmatan penerbangan.

“Jadi, ini menjadi salah satu kekangan yang terpaksa syarikat penerbangan hadapi untuk industri penerbangan ini pulih dengan cepat,” katanya.

Kata beliau, pintu masuk negara yang masih belum dibuka juga memberi kesan kepada syarikat penerbangan kerana syarikat berkenaan menjana keuntungan melalui perjalanan jarak jauh disebabkan mereka turut menikmati penjimatan kos bahan bakar.

“Kalau lapangan terbang di bandar kecil biasanya memang sukar untuk dapatkan kapasiti yang penuh. Pada masa sama syarikat penerbangan ini sukar untuk tawarkan penerbangan ke destinasi bandar kecil kalau mereka alami kerugian,” katanya.

Sementara itu, Felo Akademi Sains Malaysia, Dr Madeline Berma berkata, industri penerbangan adalah antara yang paling terjejas akibat Covid-19 kerana berlaku kejatuhan mendadak permintaan penerbangan.

Menurutnya, antara faktor penyebab ialah pembatalan perjalanan dan tour pelancongan, kerajaan membatalkan visa perjalanan dan menutup sempadan dan banyak negara melaksanakan arahan PKP.

“Ia turut dipengaruhi oleh pemberhentian penerbangan ke Asia dari negara Eropah, Amerika Syarikat serta penerbangan dalam negara di Asia.

Madeline Berma
Madeline Berma

“Situasi itu juga disebabkan kejatuhan dalam kepercayaan pengguna kepada industri penerbangan, ramai yang melewatkan pembelian tiket untuk perjalanan masa depan dan pengurangan dalam pendapatan boleh guna.

“Selain itu turut berlaku peningkatan kos penerbangan dan aktiviti ekonomi global hampir terhenti,” katanya.

Beliau menjelaskan, pengurangan jumlah penumpang memaksa banyak syarikat penerbangan beroperasi di bawah kapasiti optimum dan pembatalan penerbangan menyebabkan pendapatan menurun dan kos kian meningkat.

Katanya, keadaan tersebut menyebabkan syarikat penerbangan dan operator lapangan terbang terpaksa memberhentikan pekerja.

Berikutan keadaan itu, Dr Madeline berkata, Pertubuhan Pengangkutan Udara Antarabangsa (IATA) menganggarkan syarikat penerbangan seluruh dunia kerugian sekitar AS$314 bilion (RM1.36 trilion) akibat Covid-19.

“Menurut IATA, syarikat penerbangan di rantau Asia mencatat kejatuhan 50 peratus dalam permintaan penumpang pada 2020 berbanding 2019.

“IATA menganggarkan di Malaysia permintaan penumpang turun 39 peratus pada 2020 dan melibatkan kerugian AS$3.317 bilion (RM14.4 bilion) sepanjang PKP selama tiga bulan,” katanya.

Berdasarkan data MAHB, katanya, jumlah penumpang domestik dan antarabangsa di lapangan terbang negara ini berjumlah 78 juta orang dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu.

Tambah beliau lagi, menurut Euronews, majoriti syarikat penerbangan tidak yakin bahawa jumlah penumpang akan sama banyak seperti pada tahun 2019 dalam masa terdekat.

Katanya, jumlah penumpang seperti tahun 2019 diramalkan hanya boleh dicapai pada tahun 2025.