Miskin itu takdir yang boleh diubah

Gambar hiasan - Foto 123RF
Gambar hiasan - Foto 123RF
A
A
A

SESIAPA sahaja di dunia ini pasti mengidamkan kehidupan yang lebih baik tetapi nasib setiap insan tidak sama, ada yang ditakdirkan lahir dalam lubuk emas, ada yang lahir dalam keluarga yang biasa-biasa.

Berkaitan isu kemiskinan, ia memang dekat di hati kita. Saban hari kita melihat kisah golongan miskin tular di media sosial dan akhbar.

Setiap kali sesuatu kisah kemiskinan itu tular, banyaklah tangan yang tampil menghulur walaupun kerajaan mempunyai agensi khas yang menyampaikan bantuan bulanan.

Alhamdulillah, syukur rakyat Malaysia pemurah dan baik hati.

Namun, adakah disebabkan sikap pemurah rakyat Malaysia menyebabkan segelintir golongan miskin terus selesa dan enggan berusaha keluar daripada kehidupan mereka?

Ya, sebenarnya ada yang bersikap sedemikian. Setiap wartawan sebenarnya menyimpan 1,001 cerita berkaitan kisah kemiskinan yang dilaporkaN termasuk penulis sendiri.

Penulis tidak menafikan, ada yang betul-betul memerlukan bantuan seperti wang untuk membaiki kerosakan rumah, bantuan persekolahan anak-anak dan kos ubat.

Kes seperti itu kita faham, ia memang kemusykilan, ada orang miskin yang tidak mempunyai duit belanja untuk makan hari-hari.

Artikel Berkaitan:

Selalunya, kemiskinan pada tahap itu dikaitkan dengan isu penagihan dadah yang mana gaji harian digunakan untuk membeli bekalan najis tersebut berbanding makanan untuk anak isteri di rumah.

Bantuan

Jika melibatkan dadah, agak sukar untuk mengubah kehidupan ke arah yang lebih baik kerana sebanyak mana pun duit yang ada, ia akan dihabiskan ke jalan durjana itu.

Ketaksuban terhadap najis dadah menyebabkan bantuan barangan yang mereka terima turut dijual untuk membeli dadah.

Jika tidak dibuang ketagihan dadah itu, penulis yakin biarpun ratusan dermawan datang menghulur bantuan, mereka tetap hidup di takuk yang sama.

Selain itu, terdapat juga golongan miskin yang lebih mengharapkan bantuan berbanding berusaha dahulu dan pengalaman itu dihadapi sendiri oleh penulis beberapa tahun lalu setelah menerima panggilan daripada seorang ibu tunggal.

Si pemanggil ialah wanita berusia awal 40-an, masih sihat tubuh badan tetapi meminta agar disiarkan kisahnya dalam akhbar untuk memohon bantuan.

Katanya, dia tinggal bersama dua orang tuanya dan tidak dapat bekerja kerana mempunyai anak kecil berusia dua tahun, selain seorang lagi anak yang bersekolah rendah.

Apabila penulis enggan melayan permintaannya, dihubungi pula wartawan lain.

Bagi kes ibu tunggal ini, kisahnya tidak layak untuk disiarkan di akhbar kerana tiada keperluan mendesak selain dia juga masih sihat untuk bekerja.

Sebenarnya banyak lagi pengalaman yang penulis hadapi, ada yang pesakit terlantar menerima bantuan RM750 sebulan tetapi terpaksa minum kuah mi segera melalui tiub kerana tiada duit untuk membeli susu khas.

Walau bagaimanapun, tidak semua yang miskin itu mudah menyerah dengan takdir hidup mereka.

Semangat dan azam yang kuat mengubah beberapa insan keluar daripada kepompong kemiskinan.

Antara contoh yang boleh menjadi inspirasi kita semua ialah Ikon Usahawan Muda, Mohamad Azlan Abdullah @ Ali, 32, yang juga Peneraju Syarikat Azlan Al Amin Properties Sdn Bhd.

Kisahnya pernah tular suatu masa dahulu apabila mengubah dirinya daripada seorang pengutip sampah menjadi jutawan hartanah.

Memetik kata-katanya kepada salah rakan Sinar Harian pada September lalu, Mohamad Azlan berpegang teguh pada kata-kata ‘jadikan kemiskinan sebagai motivasi, jadikan kekayaan sebagai inspirasi. Apabila memperoleh rezeki, kita perlu bersyukur dan berbuat kebajikan dengan hidup berbakti’.

Falsafahnya itu membuktikan kehidupan miskin adalah takdir yang boleh diubah andai kita mempunyai niat yang betul dan berusaha bersungguh-sungguh.

Semoga setiap daripada kita diberikan kekuatan dan semangat untuk mengubahnya kepada yang lebih baik, insya-ALLAH.

* Roshila Murni Rosli ialah Wartawan Sinar Harian Edisi Utara