Abu Hafiz tunjuk jati diri PM 2040

A
A
A

BILA beberapa profesor mengkritik Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD) pada tahun lalu, mereka telah dicabar untuk berdialog kritis dengan tokoh aktivis hak asasi kemanusiaan.

Malangnya para profesor itu terus berdiam diri. Senyap terus.

Ia tidak membuktikan para profesor itu jahil tetapi ia menunjukkan bahawa mereka gagal menonjolkan budaya ilmiah yang mengutamakan ketelusan perspektif yang menyahut cabaran dialog kritis.

Barangkali mereka rasa selesa dengan zon profesor mereka, maka tidak perlu melayan aktivis bukan profesor yang lebih rendah darjat daripada mereka!

Ustaz Abu Hafiz ialah Exco Agama Armada Bersatu dan pensyarah UIAM yang sedang menyiapkan PhD dalam bidang sains politik berpandukan al-Quran dan as-Sunnah dengan merujuk kepada realiti politik Malaysia.

Apa yang luar biasanya ialah beliau menerima dengan terbuka format Hard Talk yang lebih mencabar daripada debat dan dialog kritis.

Lalu berlakulah Hard Talk pada 11 Jun 2020 di Facebook ProMediaTajdid tentang ‘Bersatu bersama PH atau PN’ di antara Ustaz Abu Hafiz dan Ustaz Salman Ali yang merupakan seorang jaguh debat universiti dan sedang mengajar debat di Qatar.

Mengapa Hard Talk lebih mencabar? Debat meletakkan dua pihak yang berlawan pada posisi yang sama fungsi iaitu saling soal-menyoal.

Artikel Berkaitan:

Hard Talk pula meletakkan satu pihak dalam kandang pembela yang disyaki bersalah dan satu pihak lagi ialah interrogator yang menyoal siasat seperti seorang inspektor membuat siasatan ke atas orang yang disyaki bersalah.

Ustaz Abu Hafiz meletakkan dirinya dalam kandang pembela dan Ustaz Salman diterima sebagai interrogator yang tidak bias dan tegas.

Situasi itu sangat rumit sebenarnya kepada Ustaz Abu Hafiz selaku ahli politik kerana beliau perlu menjaga political correctness.

Hard Talk memaksa beliau untuk buat keputusan sama ada nak jaga kepentingan parti atau tegakkan kebenaran.

Syarat

Ustaz Salman membuat dua syarat Hard Talk. Syarat pertama ialah interrogator berhak tanya apa-apa soalan yang berkaitan dengan tajuk sama ada secara langsung atau tidak langsung.

Syarat kedua ialah kalau interrogator rasa pembela cuba lari, elak dan pusing atau tidak jawab soalan, interrogator berhak potong bicara untuk kembali kepada tajuk perbincangan.

Mudah untuk ahli politik berceramah berjam-jam dengan pelbagai dalih membela parti tetapi Hard Talk akan berusaha membongkarkan setiap dalih yang digunakan.

Ustaz Abu Hafiz berjaya membuktikan jati diri ahli politik yang tidak bersifat dayus tetapi bersifat kuat dan beramanah seperti yang di sebut dalam surah al-Qasas.

Kuat kerana berani meletakkan ketelusan perspektifnya untuk diuji dan disiasat secara terbuka mengikut format Hard Talk dan menerima interrogator Ustaz Salman Ali yang terkenal sebagai seorang pembunuh hujah profesional.

Beramanah kerana dia mengaku kesilapan parti dan kelemahan diri bila ternyata kebenaran dibuktikan semasa Hard Talk.

Kebenaran ialah musuh paling utama bagi ahli politik yang korup dan juga bagi sesetengah profesor universiti yang sudah selesa duduk dalam tempurung seimbang dan harmonis sedangkan dunia bergolak rancak dan kebanyakan rakyat masih menderita.

Ustaz Abu Hafiz berjaya membuktikan jati diri seorang bakal Perdana Menteri futuristik tahun 2040, insya-ALLAH.

Rakyat makin matang berpolitik dan ingin melihat bakal pemimpin politik yang telus perspektif dan amalan.

Falsafah Pendidikan Kebangsaan yang sudah ketinggalan zaman wajib ditajdidkan ke arah melahirkan generasi yang kuat dan beramanah.

* Xifu Naser ialah Tokoh Pendakwah Perak