'Jiwa masih merintih mengenangkan dirimu Pak Malim'

Catatan Zambry di Facebook mengenai Pak Malim yang meninggal dunia, 18 Jun lalu.
Catatan Zambry di Facebook mengenai Pak Malim yang meninggal dunia, 18 Jun lalu.
A
A
A

IPOH - Pemergian Tokoh Sasterawan Perak, Dr Mohamed Ghazali Abdul Rashid pada 18 Jun lalu terus dikenang sebagai satu kehilangan besar kepada dunia karyawan.

Bekas Menteri Besar Perak, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dalam perkongsiannya di Facebook hari ini berkata, Allahyarham yang mesra dengan panggilan Pak Malim ialah individu yang menjadikan Perak dan Malaysia tersohor di pentas dunia penyair.

"Apabila saya menjadi Menteri Besar Perak, Pak Malim dilantik sebagai sarjana pelawat dan penasihat Institut Darul Rizdwan (IDR), walaupun beliau sibuk dijemput sebagai pensyarah dan pembicara dalam pelbagai institusi dan program, sewaktu berada di Perak beliau mendapat ruang lebih luas untuk berkarya dan menganjurkan pelbagai program budaya dan sastera.

"Dasar yang kita terapkan ketika itu ialah membangun dan memajukan negeri dalam dimensi yang menyeluruh, justeru saya minta dibangunkan kembali program pembangunan budaya.

"Setiap tahun (2010-2017) diadakan Pulara (Festival Puisi dan Lagu Rakyat Antarabangsa) yang dihadiri peserta lebih dari 20 negara.

"Perak dan Malaysia dipromosikan melalui suatu cara yang tersendiri sehingga World Congress of Poets kali ke 33 diadakan di Pulau Pangkor dengan kehadiran lebih 200 penyair dari 32 negara pada 2013.

"Sejak itu nama Perak dan Malaysia tersohor di serata dunia kepenyairan dari Prague hinggalah ke Peru," katanya.

Menurutnya, bagi mengembangkan Perak sebagai pusat karyawan dan penggambaran, Pak Malim mencetuskan idea untuk menubuhkan sebuah perkampungan karyawan berdekatan Gua Tempurung pada 2017.

Katanya, lokasi itu dijadikan tempat untuk pelukis, penulis, artis, pemuzik, dan penyair menghasilkan karya mereka dalam suasana santai dan tenang.

Artikel Berkaitan:

Pada 2016 atas usaha dan galakan Pak Malim, sebuah antologi puisi nukilan Zambry sendiri diterbitkan oleh Institut Terjemahan dan Buku Negara (ITBN) bertajuk Puisi Sahabat (Friend’s Letter).

Buku koleksi puisi itu dilancarkan ketika Pesta Buku Frankfurt, Jerman dan versi bahasa Inggeris diterjemahkan sendiri Pak Malim serta Profesor Muhammad Haji Salleh.

"Mulai tahun 2015, saya turut mengesyorkan kepada Pak Malim bahawa langkah memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi negara dan bahasa persuratan perlu dilakukan dengan lebih gigih merentasi kaum dan dihayati semua rakyat.

"Sempena dengan acara Pulara setiap tahun, sebuah Kongres bahasa Melayu turut diadakan yang mengumpulkan tokoh-tokoh bahasa Melayu dari dalam dan luar negara," katanya.

Zambry berkata, Pak Malim dan Exco yang bertanggungjawab ketika itu Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi menggerakkan kesemua acara itu.

"Menariknya Datuk Nolee yang pada mulanya tidak mempunyai pengalaman dalam dunia karyawan dan sastera telah muncul menjadi orang yang memiliki pengetahuan dan minat dalam bidang tersebut," katanya.

Zambry yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pangkor turut berkongsi pandangan rakan-rakan Pak Malim sejak zaman sekolah yang menganggap Allahyarham seorang manusia istimewa dan aneh, seorang penjawat awam yang kanan dan berkedudukan, namun berambut panjang, bermisai dan berjanggut memiliki kehebatan menulis dan menelaah.

Jelasnya, mungkin ramai yang tidak mengenali Allahyarham seperti juga dengan ramai tokoh hebat sasterawan negara dan negeri tetapi jasanya sangat besar terhadap negeri Perak dan negara.

"Mata penaku tidak mampu meneruskan catatan lagi. Jiwaku makin merintih mengenangkan dirimu Pak Malim. Di hadapan imaginasi ku engkau masih berbicara denganku, dengan penuh adab dan hormat.

"Di ruang fikirku, masih ku ingat jiwamu yang berkelana mencari jawab kepada harapanmu yang tak terpenuhi dan di celah tabir tempat rawatanmu, masih ku ingat kesungguhan mu melawan penyakit yang dideritaimu," kongsi Zambry di Facebook.

Allahyarham Mohamed Ghazali menghembuskan nafas terakhir pada usia 71 tahun selepas menjalani pembedahan membuang tumor di Hospital Serdang, 18 Jun lalu dan dikebumikan di Tanah Perkuburan Kota Damansara.

Allahyarham yang menggunakan nama pena Malim Ghozali PK adalah anak kelahiran Malim Nawar dan pernah menerima Anugerah Penulisan Asia Tenggara (SEA Award) pada 2013 sebelum dinobatkan sebagai Sasterawan Perak pada 2014.