Tonoshiro Senkaku nama baharu Pulau Senkaku

Pulau Senkaku yang menjadi pertikaian antara Jepun, China dan Taiwan. - Foto Agensi
Pulau Senkaku yang menjadi pertikaian antara Jepun, China dan Taiwan. - Foto Agensi
A
A
A

TOKYO - Sebuah majlis perbandaran di selatan Jepun hari ini menamakan semula kawasan termasuk pulau yang menjadi pertikaian dengan China dan Taiwan di Laut China Selatan.

Majlis tempatan bandar Ishigaki di wilayah Okinawa meluluskan rancangan menukar nama kawasan meliputi Pulau Senkaku yang tidak berpenghuni yang dikawal Tokyo dan digelar Diaoyu oleh Taipei dan Beijing daripada Tonoshiro kepada Tonoshiro Senkaku yang akan berkuat kuasa pada 1 Oktober depan.

Media tempatan melaporkan sebuah lagi bahagian Ishigaki dikenali sebagai Tonoshiro turut diubah bagi mengelakkan kekeliruan.

Datuk Bandar Ishigaki, Yoshitaka Nakayama mengemukakan rang undang-undang untuk menukar nama tersebut selepas insiden bot nelayan Jepun dikejar bot peronda China di perairan Jepun berhampiran pulau tersebut pada awal Mei lalu.

Keputusan itu bagaimanapun mencetuskan kemarahan Beijing yang ketika ini terlibat dalam konflik tuntutan wilayah sempadan bersama India.

"Tindakan tersebut satu bentuk provokasi yang serius terhadap kedaulatan wilayah China. Ia jelas melanggar undang-undang dan tidak sah serta tidak boleh mengubah fakta bahawa Pulau Diaoyu adalah milik Beijing," kata jurucakap Kementerian Luar China, Zhao Lijian.

Sementara itu, Taiwan yang membuat tuntutan sama ke atas wilayah juga membantah langkah tersebut.

"Kedaulatan Pulau Diaoyu adalah milik negara kami dan mana-mana cubaan untuk mengubah fakta itu adalah tidak sah," ujar Kementerian Luar dalam satu kenyataan.

Artikel Berkaitan:

Difahamkan, hubungan antara Jepun dan China semakin keruh pada 2012 apabila Tokyo menasionalisasikan beberapa kepulauan yang menjadi pertikaian multilateral di Laut China Selatan. - AFP