KKM henti guna ubat antimalaria rawat pesakit Covid-19

Ujian klinikal menunjukkan ubat anti-malaria, hydroxychloroquine tidak berkesan untuk merawat pesakit Covid-19. Foto: 123RF
Ujian klinikal menunjukkan ubat anti-malaria, hydroxychloroquine tidak berkesan untuk merawat pesakit Covid-19. Foto: 123RF
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menghentikan penggunaan ubat antimalaria, hydroxychloroquine untuk merawat pesakit Covid-19 selepas didapati tidak berkesan.

Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah berkata, keputusan itu dibuat setelah data dikumpulkan tidak menunjukkan keberkesanan ubat itu membantu pesakit koronavirus (Covid-19) untuk pulih.

Katanya, keputusan itu juga dibuat beberapa hari selepas Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) membuat pendirian sama dengan menghentikan ujian klinikal ubat hydroxychloroquine setelah didapati tidak mengurangkan kadar kematian akibat Covid-19.

"Hydrochlorogquine bukan ubat baharu kerana sudah diguna pakai 40 tahun lalu untuk mengubati penyakit malaria.

"Bagi rawatan Covid-19 kita guna off label. Tiada lagi data menyatakan ubat ini boleh dipakai. Tiada indikasi untuk penyakit atau pesakit Covid-19.

"Selepas mengumpul data dan sebanyak 500 kes didapati tidak ada kesan yang positif. Statistik tidak menunjukkan keberkesanan," kata beliau pada sidang media harian Kementerian Kesihatan di Putrajaya hari ini.

Terdahulu, bercakap dalam sidang media maya di Geneva pada Khamis lalu, Dr Ana Maria Henao Restrepo daripada program kecemasan WHO, menjelaskan ubat anti malaria itu, ditarik dari ujian klinikal yang dijalankan pelbagai negara mengenai potensi rawatan pesakit Covid-19.

Pengumuman dibuat dua hari selepas Amerika Syarikat menarik balik kebenaran penggunaan dua ubat anti malaria, hydroxychloroquine dan chloroquine untuk merawat Covid-19.

Artikel Berkaitan: