X

Kindly register in order to view this article
!

Masjid bantu sertu lori bawa babi bersama sawit

A
A

SABAK BERNAM - Masjid Makmuriah Sungai Besar membantu melakukan proses sertu ke atas sebuah lori yang membawa seekor babi bersama buah kelapa sawit selepas video insiden tersebut tular hari ini.

Ahli Kariah Masjid berkenaan, Mohd Razali Saari berkata, proses sertu tersebut dijalankan dengan basuhan sebanyak tujuh kali dan sekali air tanah.

Menurutnya, beliau dimaklumkan dua pekerja Islam warga asing itu juga telah menjalani proses sertu selepas membantu seorang individu bukan Islam mengangkat babi itu ke dalam lori tersebut.

ARTIKEL BERKAITAN: Tular video bawa babi bersama muatan sawit

"Pihak syarikat telah memohon maaf dan selepas dinasihati, mereka dengan dibantu pihak masjid menjalankan proses sertu ke atas lori dan pekerja berkenaan," katanya kepada Sinar Harian.

Mohd Razali berkata, menurut syarikat tersebut, babi itu ditembak mati di sebuah kebun kelapa sawit berikutan mengganggu pekerja warga asing berkenaan.

"Pekerja tidak memahami bagaimana cara menguruskan najis mughalazah (najis berat) terbabit dan hanya mengangkat babi naik ke atas lori berkenaan," katanya.

Bagaimanapun, beliau tidak mengetahui lokasi buah sawit itu dijual dan babi itu diuruskan.

"Kita meminta supaya pihak terbabit lebih peka dan prihatin terutama isu yang menyentuh sensitiviti umat Islam di negara ini," katanya.

Sebelum ini tular sebuah video berdurasi satu minit memaparkan tiga individu menarik seekor babi dalam sebuah lori bersama longgokan buah kelapa sawit.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus