Junaidah nafi dilantik Pengerusi AIM kerana kronisme

Datuk Junaidah Kiting
Datuk Junaidah Kiting
A
A
A

KUALA LUMPUR - Pengerusi Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM), Datuk Junaidah Kiting menafikan dakwaan beliau dilantik memegang jawatan tersebut kerana statusnya sebagai isteri kepada salah seorang Setiausaha Politik Perdana Menteri.

Junaidah dalam satu kenyataan berkata, adalah tidak wajar apabila mendakwa wujud amalan kronisme dalam pelantikannya itu kerana ia merupakan keputusan pihak pengurusan tertinggi AIM dan tiada kena-mengena atau campur tangan daripada Pejabat Perdana Menteri.

Menurutnya, dakwaan sebegitu dianggap tidak adil, seolah-olah mahu mencemarkan nama baiknya dan suami khususnya dari aspek integriti.

“Malah dakwaan ini juga dilihat dangkal seolah-olah mengetepikan kelayakan, pengalaman serta bakat seseorang yang boleh dimanfaatkan untuk pembangunan sesebuah organisasi.

“Sebelum dilantik sebagai Pengerusi AIM, saya berusaha keras sebagai seorang usahawan wanita yang berjaya dan mampu membina jenama dalam perniagaan,” katanya.

Beliau juga menolak dakwaan mengatakan AIM telah meyimpang daripada matlamat asal kerana pengurusan barunya sentiasa fokus kepada usaha meningkatkan sosio-ekonomi serta membasmi kemiskinan rakyat melalui perniagaan dan keusahawanan.

“Malah AIM ketika ini sentiasa berusaha untuk menambah bilangan peminjam dengan sasaran 400,000 ahli Sahabat AIM sekaligus mengeluarkan rakyat daripada kepompong kemiskinan.

“Berhubung isu penubuhan anak syarikat yang dikatakan tidak mengikut Seksyen 17 (2) Akta Pemegang Amanah 1992, ia sebenarnya telah wujud sejak tahun 2004 lagi dan isu tersebut bukannya diputuskan oleh pengurusan baharu AIM,” jelas beliau.

Artikel Berkaitan:

Tegasnya, selaku Pengerusi AIM yang baru, beliau tidak akan bertolak ansur dengan salah laku atau penyelewengan yang berlaku dalam badan berkenaan.

“AIM telah menyerahkan dokumen serta maklumat berhubung isu anak syarikat kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) untuk tindakan lanjut pada 21 Disember lalu,” katanya.

Baru-baru ini, Kementerian Pembangunan Luar Bandar mempertahankan tindakan AIM melantik pengurusan baharu termasuklah pengerusinya, Junaidah.

Menterinya, Datuk Seri Rina Mohd Harun berkata, sebanyak 99 peratus peminjam atau Sahabat AIM ialah golongan wanita.

“Sudah pasti pengerusinya jika dilantik seorang wanita, malah seorang usahawan ia akan dapat lebih mendekatkan diri dengan golongan peminjam ataupun dipanggil sebagai sahabat,” ujarnya.