Pelumba negara dapat 'lampu hijau' beraksi di Sepanyol

Khairul Idham Pawi
Khairul Idham Pawi
A
A
A

PELUMBA negara yang menyertai Kejohanan Dunia MotoGP telah mendapat 'lampu hijau' daripada kerajaan untuk beraksi di Jerez, Sepanyol.

Prinsipal pasukan PETRONAS Yamaha SRT, Datuk Razlan Razali berkata, berita gembira tersebut telah dimaklumkan pihak Litar Antarabangsa Sepang (SIC) hari ini, namun pihaknya perlu menunggu surat rasmi Kementerian Belia dan Sukan (KBS) terlebih dahulu.

“Kelulusan diberikan kepada pelumba Petronas Yamaha SRT dari Malaysia dan juga pelumba negara dari pasukan lain, yang terlibat dengan kejohanan dunia di Jerez itu.

“Namun, kami masih menunggu surat rasmi daripada KBS, yang sudah pasti akan dimaklumkan sekali mengenai syarat yang ditetapkan oleh pihak KBS, Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),” katanya ketika dihubungi Bernama.

Pasukan PETRONAS Yamaha SRT selaku pasukan MotoGP pertama Malaysia itu diwakili pelumba negara, Khairul Idham Pawi yang berlumba dalam kelas Moto3 mewakili Petronas Sprinta Racing.

Kejohanan MotoGP Dunia 2020 akan akan membabitkan 13 pusingan perlumbaan di Eropah antara Julai dan November, dengan terdapatnya potensi untuk empat pusingan di luar Eropah pada November dan Disember.

Pusingan pertama menyaksikan pasukan akan ke Sepanyol untuk perlumbaan dua minggu di Jerez, iaitu pada 19 dan 26 Julai.

Mengulas mengenai pasukannya, Razlan percaya pasukan Petronas Yamaha SRT sudah bersiap sedia dan telah memulakan latihan sahaja Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) berakhir.

Artikel Berkaitan:

Beliau memaklumkan Khairul Idham dijangka terbang ke Sepanyol pada 13 Julai ini.

“Untuk pelumba yang ada di Malaysia seperti Khairul Idham, beliau berlatih menggunakan jentera latihan di Litar Sepang, manakala bagi pelumba MotoGP (Franco Morbidelli dan Fabio Quartararo) turut berlatih di negara mereka,” katanya.

Petronas Yamaha SRT dibarisi Morbidelli dan Quartararo dalam kelas perdana MotoGP, manakala pasukan Petronas Sprinta Racing diwakili oleh Xavi Vierge dan Jake Dixon (Moto2) serta Khairul Idham bersama John McPhee dalam kelas Moto3. - Bernama