Tubuh segera RCI Tabung Haji, gesa Pemuda UMNO

Asyraf Wajdi
Asyraf Wajdi
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO menggesa kerajaan Perikatan Nasional (PN) segera menubuhkan Suruhanjaya Siasatan DiRaja (RCI) berhubung dakwaan penyelewengan dalam Lembaga Tabung Haji (TH).

Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, walaupun RCI itu bukan janji kerajaan PN (sebaliknya janji manifesto Pakatan Harapan) namun rakyat berhak mendapat penjelasan yang telus berkaitan pelbagai tuduhan penyelewengan oleh kerajaan Pakatan Harapan (PH) sebelum ini.

“Bermula dengan pelbagai tuduhan penyelewengan yang berlaku dalam TH yang sehingga kini tiada satu pun didakwa ke muka pengadilan sehingga pelbagai isu yang menyentuh hati rakyat termasuk ura-ura pengurangan subsidi jemaah haji atas justifikasi konsep Istitoah oleh bekas menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa.

ARTIKEL BERKAITAN: Mujahid bertanggungjawab atas lelongan aset hartanah TH: Pemuda UMNO

Mujahid sedia disiasat dakwaan lelong aset Tabung Haji

“Isu jualan lambak ke atas 76.2 peratus ladang milik TH Plantations seluas 101,000 hektar menjadi hanya 24,000 hektar dengan kaedah yang begitu meragukan juga benar-benar membangkitkan keresahan 9.4 juta pendeposit dalam kalangan umat Islam.

“Ini tidak termasuk aset lain TH bernilai RM10 bilion yang sudah terjual kepada syarikat milik Kementerian Kewangan, Urusharta Jemaah Sdn Bhd,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurut Asyraf Wajdi, aset yang terjual itu turut melibatkan tanah Tun Razak Exchange (TRX) bernilai RM400 juta dan hotel TH seluruh negara yang selama ini banyak menyumbang kepada perolehan TH.

Artikel Berkaitan:

Katanya lagi, pendedahan surat TH oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak jelas menunjukkan bahawa Menteri Agama ketika itu, Mujahid meluluskan hak perlucutan pertama terhadap pembelian semula 18 aset hartanah TH yang dipindahkan ke UJSB.

“Sebelum PH memerintah, TH tidak pernah gagal merealisasikan matlamat penubuhannya yang bukan sahaja menguruskan segala keperluan urusan dan hal ehwal kebajikan jemaah Haji, tetapi juga menjana ekonomi umat Islam.

“Kecemerlangan TH sebelum ini bukan sahaja diiktiraf oleh dunia malah prestasi kewangan yang memberangsangkan setiap tahun membolehkan pendeposit berkongsi hibah dan bonus setiap tahun secara purata tidak kurang daripada 6.25 peratus setelah ditolak zakat 2.5 peratus.

“Sebab itulah apabila pelbagai tuduhan penyelewengan, skandal dan defisit melanda secara tiba-tiba sejurus selepas PH memerintah sehingga mencetuskan pelbagai tanda tanya dan polemik berterusan,” katanya.

Justeru, Pemuda UMNO Malaysia meminta kerajaan PN segera menubuhkan RCI bagi mengembalikan keyakinan pendeposit dan pelabur TH.