Tiga polis, 11 ahli sindiket penyeludupan migran diberkas

Tiga individu warga Indonesia dikehendaki polis Perak bagi membantu siasatan kes penyeludupan migran.
Tiga individu warga Indonesia dikehendaki polis Perak bagi membantu siasatan kes penyeludupan migran.
A
A
A

IPOH - Tiga anggota polis antara yang diberkas bersama 11 ahli sindiket penyeludupan migran melalui Op Benteng di Perak yang dilaksanakan sejak 4 April lalu.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain berkata, kesemua anggota yang berusia 30-an dan bertugas di Balai Polis Hutan Melintang itu ditahan selepas disyaki membantu sindiket penyeludupan pendatang asing tanpa izin (PATI) ke negeri ini.

Menurutnya, turut ditahan dalam beberapa siri serbuan itu ialah enam rakyat tempatan dan lima warga Indonesia berusia lingkungan 33 hingga 66 tahun yang bertindak sebagai ejen.

"Rangkaian sindiket ini terdiri daripada ejen yang menerima tempahan migran untuk kembali ke negara asal, pengangkutan menggunakan kereta persendirian dan teksi, penyedia rumah penampungan PATI, pemilik bot serta ketua penyeludup jiran.

"Siasatan mendapati, sindiket ini memfokuskan aktiviti penyeludupan migran menerusi laluan tidak diwartakan di kawasan Hutan Melintang di daerah Hilir Perak," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain
Ketua Polis Perak, Datuk Razarudin Husain

Katanya, polis turut merampas kenderaan yang disyaki digunakan dalam aktiviti penyeludupan iaitu sebuah bot nelayan kelas C, sebuah bot laju, dua kereta jenis Proton dan 21 telefon bimbit pelbagai jenama yang keseluruhannya dianggarkan bernilai hampir RM1 juta.

"Kesemua suspek mendapat perintah tahanan reman di bawah Seksyen 4(5) Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (SOSMA) selama 28 hari bermula 5 Jun lalu.

Artikel Berkaitan:

"Kertas siasatan akan dirujuk kepada Pejabat Peguam Negara dalam masa terdekat untuk mendapatkan arahan pendakwaan di bawah Seksyen 130V hingga 130ZB Bab VIB Jenayah Terancang Kanun Keseksaan," katanya.

Razarudin berkata, aktiviti penyeludupan itu dikesan aktif sejak 2014 tetapi berjaya ditumpaskan polis pada 2015 dengan mengenakan tindakan di bawah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) ke atas sembilan ahli sindiket ketika itu.

Katanya, aktiviti penyeludupan migran dapat dibendung sepenuhnya pada 2016 hingga 2017 sebelum dikesan kembali aktif pada 2019 setelah semua tangkapan POCA dibebaskan.

"Kita kini sedang mempergiat usaha mengesan dan mengenal pasti beberapa lagi ejen PATI yang masih bebas.

"Polis memberi amaran keras dan tindakan tegas akan diambil ke atas semua pihak yang terlibat dalam aktiviti jenayah ini," katanya.