X

Kindly register in order to view this article
!

Tujuh tahun hidu bau busuk!

Penduduk menunjukkan air sungai Kuala Kerpan yang bertukar menjadi kehitaman.
A
A

AYER HITAM - Lebih 300 keluarga di Kampung Kuala Kerpan di sini terpaksa menghidu bau busuk air sejak tujuh tahun lalu yang didakwa berpunca daripada buangan sebuah kolam ternakan udang di sini.

Mereka mendakwa masalah itu turut menjadi punca pencemaran dan pembuangan air itu dilakukan pada waktu malam.

Seorang nelayan, Rudi Ahmad, 40, berkata, pembuangan air kotor dari kolam berkenaan yang terletak kira-kira 500 meter dari kampung mereka turut menjejaskan sumber air di kawasan berkenaan.

"Selalunya apabila hendak mengambil udang ternakan itu mereka akan lepaskan air kolam terlebih dahulu yang mengambil masa lebih kurang empat jam.

"Bau busuk paling ketara pada waktu pagi sehingga air sungai bertukar kehitaman dan menjejaskan aktiviti perikanan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

"Kami tidak dapat mencuci bot di kawasan ini kerana air berkenaan menyebabkan kegatalan pada kulit dan terpaksa membawa bot ke laut semata-mata untuk tujuan itu.

Rudi (kiri) dan Che Ani menunjukkan perbezaan warna air sungai Kuala Kerpan yang tercemar.
Rudi (kiri) dan Che Ani menunjukkan perbezaan warna air sungai Kuala Kerpan yang tercemar.

Seorang lagi nelayan Mohd fadzil Yaakob, 50, berkata, air buangan terbabit yang terus mengalir ke laut juga boleh mengakibatkan kepupusan hidupan laut di sungai dan pesisiran pantai di kawasan berkenaan.

Beliau yang sudah 20 tahun menjadi nelayan mengakui banyak sumber laut yang mati akibat pencemaran air sekali gus menjejaskan pendapatan nelayan yang bergantung sepenuhnya kepada hasil laut.

Dalam pada itu, seorang pengusaha kolam ternakan ikan di sini, Mohd Halizi Talib, 48, juga terpaksa menanggung kerugian puluhan ribu ringgit setahun apabila benih ikan yang diusahakannya turut terjejas.

Katanya, anak-anak ikan merah terkena penyakit kesan daripada penggunaan air tercemar yang dipam dari laut.

>
Mohd Halizi menunjukkan benih ikan merah yang mati kerana kesan daripada penggunaan air laut yang tercemar di Kuala Kerpan di sini.
Mohd Halizi menunjukkan benih ikan merah yang mati kerana kesan daripada penggunaan air laut yang tercemar di Kuala Kerpan di sini.

"Air yang digunakan untuk kolam ini saya pam dari laut, walaupun sudah ditakung dan melalui proses tapisan namun ia tetap memberi kesan kepada benih ikan ini," katanya.

Beliau juga bimbang kerana keadaan itu semakin serius dan kerugian juga meningkat.

Sementara itu, Pengerusi Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING), Che Ani Mat Zain berkata, pihaknya telah menerima aduan daripada nelayan di kawasan berkenaan dan telah memanjangkan isu terbabit kepada pihak berwajib.

"Bagaimanapun beberapa agensi terlibat memaklumkan kes berkenaan adalah di luar bidang kuasa mereka kerana tiada peruntukan undang-undang berkaitan kawalan sisi buangan daripada kolam akuakultur.

"Sehubungan itu, saya memohon kerajaan negeri serta pihak bertanggungjawab dapat mencari satu penyelesaian agar masalah ini tidak berlarutan dan memberi keputusan yang adil kepada kedua-dua pihak," katanya.

Penduduk kampung menunjukkan buih kotor yang didakwa akibat air buangan daripada kolam ternakan udang berkenaan.
Penduduk kampung menunjukkan buih kotor yang didakwa akibat air buangan daripada kolam ternakan udang berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!