Bapa tampar, lambung anak usia 2 bulan ditahan

Polis menerima laporan daripada doktor berhubung kecederaan yang dialami oleh bayi termasuk di bahagian belakang kepala, disyaki akibat didera.- Gambar hiasan
Polis menerima laporan daripada doktor berhubung kecederaan yang dialami oleh bayi termasuk di bahagian belakang kepala, disyaki akibat didera.- Gambar hiasan
A
A
A

ARAU - Seorang lelaki ditahan selepas dipercayai mendera bayi lelakinya yang berusia 2 bulan di rumah mereka di Taman Pauh Indah dekat sini pada Jumaat.

Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Nanda Ma’arof berkata, suspek berusia 39 tahun yang bekerja sebagai pesawah itu ditahan pada hari sama selepas polis menerima laporan daripada seorang doktor di Klinik Kesihatan Arau pada 11.30 pagi hari berkenaan.

“Polis menerima laporan daripada doktor di Bahagian Ibu dan Anak klinik berkenaan berhubung kecederaan yang dialami oleh bayi termasuk di bahagian belakang kepala, disyaki akibat didera.

“Susulan itu, polis menahan sepasang suami isteri.

"Soal siasat mendapati lelaki yang juga ayah kandung bayi berkenaan dipercayai bertindak menampar dan melambung bayi tersebut pada hari kejadian,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Menurutnya, soal siasat juga mendapati si bapa dipercayai menyembur racun serangga ke muka bayi itu untuk mendiamkan anaknya yang menangis.

Suspek direman sehingga Khamis ini untuk membantu siasatan menurut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-kanak 2001, katanya, dan menambah bayi itu telah dirujuk ke Hospital Tuanku Fauziah di Kangar untuk pemeriksaan lanjut. - Bernama

Artikel Berkaitan: