Johor benar tambah jemaah solat Jumaat, solat fardu

Johor benar solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan solat sunat Aidiladha mengikut satu pertiga kapasiti masjid bermula Jumaat ini.
Johor benar solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan solat sunat Aidiladha mengikut satu pertiga kapasiti masjid bermula Jumaat ini.
A
A
A

JOHOR BAHRU - Sultan Johor berkenan membenarkan jemaah solat Jumaat, solat fardu lima waktu dan solat sunat Aidiladha mengikut satu pertiga kapasiti masjid bermula Jumaat ini.

Exco Hal Ehwal Agama Negeri Johor, Tosrin Jarvanthi berkata, semua peringkat umur dibenarkan bersolat termasuk wanita kecuali warganegara asing.

"Para jemaah perlu mematuhi semua prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam tempoh penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP).

"Kewajiban solat Jumaat gugur ke atas mereka yang tidak terpilih menunaikan solat Jumaat pada hari berkenaan sebaliknya wajib menunaikan solat zuhur di rumah," katanya dalam sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar di sini hari ini.

Turut hadir Mufti Johor, Datuk Yahya Ahmad dan Pengarah Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ), Datuk Md Rofiki Samsudin.

Pada 10 Jun lalu, Johor membenarkan solat Jumaat dan solat fardu lima waktu dengan jumlah 40 jemaah sahaja tidak termasuk pegawai masjid dan surau.

Tosrin (tengah) menunjukkan kenyataan berkenaan kebenaran solat Jumaat, solat sunat Aidiladha dan solat fardu lima waktu di semua masjid dan surau di Johor, selepas sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.
Tosrin (tengah) menunjukkan kenyataan berkenaan kebenaran solat Jumaat, solat sunat Aidiladha dan solat fardu lima waktu di semua masjid dan surau di Johor, selepas sidang akhbar di Pusat Islam Iskandar, Johor Bahru hari ini.

Tosrin berkata, pihak JAINJ akan mengedarkan garis panduan berkenaan kepada semua pihak pengurusan masjid dan surau yang akan mengadakan solat-solat berkenaan.

Artikel Berkaitan:

Bagi surau yang berhasrat mengadakan solat sunat Aidiladha katanya, perlu mendapatkan kebenaran daripada Kadi Daerah di kawasan masing-masing.

Beliau berkata, sepanjang tempoh PKPP semua perhimpunan untuk tujuan aktiviti agama seperti ceramah dan seumpamanya di seluruh premis serta surau perlu ditangguhkan.

"Bagaimanapun pelaksanaan aktiviti kuliah subuh dan kuliah maghrib tidak melebihi 30 minit serta bacaan Yassin tahlil dan surah Al-Kahfi pada setiap malam serta subuh Jumaat dibenarkan sehingga ke satu tarikh yang akan ditentukan Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ)," katanya.

Beliau berharap semua pihak pengurusan masjid dan surau di negeri ini mematuhi semua arahan pihak JAINJ.