Kelibat Fernandes, Pogba hidupkan nadi The Red Devils

Gandingan Pogba dan Fernandes suntik semangat baharu kepada The Red Devils.
Gandingan Pogba dan Fernandes suntik semangat baharu kepada The Red Devils.
A
A
A

KESERASIAN gandingan Bruno Fernandes dan Paul Pogba di bahagian nadi Manchester United disifatkan sebagai elemen berbahaya kepada lawan pada baki saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) musim ini.

Legenda Newcastle United, Alan Shearer berkata, kedua-dua pemain itu telah membuktikan keserasian gandingan mereka ketika bangkit mengikat Tottenham Hotspur 1-1 di Stadium Tottenham Hotspur pada Jumaat.

"Saya optimis bahawa bahagian tengah Manchester United akan lebih kreatif dalam mencipta pelbagai gerakan dalam usaha mencari gol selepas ini dengan adanya Pobga dan Fernandes di situ.

"Fernandes sebenarnyalah yang menghidupkan bahagian penting dengan pelbagai gerakan kepada rakan sepasukan lain.

"Sentuhan bola pertamanya seiring dengan pemikirannya iaitu ke arah menyerang kubu lawan. Tindakan inilah yang sebenarnya memberi semangat kepada pemain hadapan lain.

"Kelebihan dimiliki Fernandes inilah yang menutup beberapa kelemahan ketara dihadapi bahagian tengah dan depan Manchester United sebelum ini," katanya.

Sementara mengenai Pogba pula, jelas bekas pemain England itu, bintang Perancis berkenaan sudah mula mempamerkan keberkesanan bisanya walaupun hanya dimasukkan pada babak kedua perlawanan.

"Sekiranya Pogba dapat beraksi sepenuh masa atau dikekalkan di Old Trafford, saya percaya dia mampu membentuk gandingan lebih garang bersama Fernandes.

Artikel Berkaitan:

"Lihat sahaja bagaimana Pogba menyuntik semangat seterusnya corak permainan pemain Manchester United selepas kemasukannya pada babak kedua.

"Pogba sudah perlahan kembali ke prestasi semulanya yang dipertikai ramai akibat kecederaan sebelum ini. Sekarang tugasan Pogba adalah membuktikan dia berada pada landasan terbaik seperti ketika tiba dari Juventus," katanya.

Kemasukan Pogba pada minit ke-63 ketika bertandang menentang anak buah Jose Mourinho membolehkan skuad Ole Gunnar Solskjaer membawa satu mata pulang dari London.

Pogba yang dikasari pada perlawanan itu dihadiahkan sepakan penalti yang disempurnakan Fernandes bagi gol penyamaan The Red Devils.

Pemain berusia 27 tahun itu yang hanya tampil tujuh kali bersama The Red Devils di saingan liga pertama kali digandingkan dengan Fernandes pada perlawanan berkenaan sejak ketibaan pemain Portugal ke Old Trafford dari Sporting Lisbon pada Januari lalu.