Warga emas cedera digigit anjing

Gambar hiasan. - Foto 123RF
Gambar hiasan. - Foto 123RF
A
A
A

DUNGUN - Seorang lelaki warga emas cedera di beberapa bahagian badan termasuk lengan dan paha akibat digigit seekor anjing ketika sedang berjalan di tepi jalan besar di Paka kelmarin.

Dalam kejadian kira-kira jam 8.30 pagi, mangsa yang berusia 83 tahun dari bandar Almuktafi Billah Shah dikatakan sedang berjalan kaki ke bengkel membaiki kereta.

Menurut sumber, anjing berkenaan secara tiba-tiba muncul dari arah belakang dan terus meluru ke arah mangsa.

"Mangsa cuba melarikan diri tetapi terjatuh dan terus diterkam haiwan peliharaan itu selain bertindak agresif menggigit lengan dan paha.

"Akibat kejadian itu, mangsa mengalami kecederaan yang agak serius. Pemilik haiwan berkenaan ke lokasi mendapatkan semula anjing itu dan memberikan sejumlah wang kepada mangsa untuk kos rawatan," katanya ketika dihubungi hari ini.

Sumber berkata, mangsa yang tidak berpuas hati dengan kecuaian penjaga haiwan tersebut kerana tidak mengikat atau mengurung anjing itu di dalam sangkar mengambil keputusan membuat laporan polis untuk tindakan lanjut.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Dungun, Superintendan Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian.

Kes itu disiasat di bawah Seksyen 289 Kanun Keseksaan kerana cuai menyebabkan haiwan peliharaannya mencederakan orang awam.

Artikel Berkaitan: