Warga Arab Saudi isi pekerjaan ditinggalkan 1.2 juta buruh asing

 Arab Saudi mengalami kejatuhan harga minyak yang menyebabkan penurunan pendapatan. - Foto AFP
Arab Saudi mengalami kejatuhan harga minyak yang menyebabkan penurunan pendapatan. - Foto AFP
A
A
A

KIRA-kira 1.2 juta pekerja asing dijangka meninggalkan pasaran buruh Arab Saudi pada tahun ini ketika vaksin pandemik Covid-19 masih belum ditemui.

Menurut laporan Saudi Gazette pada 15 Jun lalu, anggaran itu dikeluarkan oleh Syarikat Pelaburan Jadwa baru-baru ini.

Sektor-sektor yang dipercayai menyaksikan peratusan tertinggi buruh asing yang akan meninggalkan Arab Saudi ialah hospitaliti, perkhidmatan makanan, pentadbiran dan aktiviti sokongan lain.

Berdasarkan laporan itu, buruh asing juga dijangka tidak lagi bekerja dalam aktiviti pajak gadai dan sewaan, agensi pelancongan, perkhidmatan keselamatan dan bangunan.

Akhbar harian perniagaan Maaal melaporkan, walaupun ramai buruh asing meninggalkan negara tersebut, kadar pengangguran dalam kalangan warga Arab Saudi masih tidak berubah iaitu pada kadar 12 peratus menjelang tahun 2020.

Anggaran syarikat tersebut menyatakan, sebahagian sektor tidak akan kembali putih seperti sebelum Covid-19 seperti dalam aktiviti perniagaan dalam tempoh yang terdekat.

Ramalan itu dibuat dengan sektor yang teruk terjejas seperti pelancongan, restoran dan hiburan walaupun terdapat kelonggaran sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19.

Buruh asing yang akan meninggalkan Arab Saudi itu berlaku ketika negara tersebut mengalami krisis berganda iaitu penurunan harga minyak dan pastinya pandemik Covid-19.

Artikel Berkaitan:

Pandemik Covid-19 yang menyebabkan kematian kepada penghidapnya selain ia mudah berjangkit itu dikesan di China pada tahun lalu dan kini merebak ke seluruh dunia.

Ia juga menyebabkan urusan umrah ke Tanah Suci Mekah digantung buat sementara waktu dan setakat ini Arab Saudi masih belum mengumumkan sama ada pengendalian musim haji akan diteruskan.

Suasana lengang di Kaabah, Makkah akibat pandemik Covid-19. - Foto AFP
Suasana lengang di Kaabah, Makkah akibat pandemik Covid-19. - Foto AFP

Menurut portal berita Al-Jazeera pada 16 Jun, kedua-dua krisis itu akan memberikan kesan yang negatif terhadap ekonomi negara tersebut.

Bagaimanapun, ketiadaan buruh asing itu bersama bantuan kerajaan untuk perniagaan, mungkin memberi peluang baru terhadap pekerja tempatan di Arab Saudi.

Skim sokongan insurans tidak bekerja (SANED) yang diperkenalkan oleh Kementerian Sumber Manusia dan Pembangunan Sosial akan membolehkan warga negara tersebut mengekalkan pekerjaan mereka dalam sektor swasta.

Tambahan pula, beberapa langkah diperkenalkan kerajaan bagi menggantikan pekerja asing dengan rakyat tempatan bagi membantu menstabilkan pasaran pekerjaan di Arab Saudi.

Syarikat Pelaburan Jadwa pula menyatakan jumlah penerima skim insurans tersebut ialah 450,000 penduduk Arab Saudi yang akan bekerja di lebih 90,000 syarikat dan pertubuhan-pertubuhan perniagaan pada bulan lalu.

Sehingga kini, kira-kira SR$2.4 bilion (RM2.73 bilion) telah dibelanjakan untuk projek tersebut yang mewakili 37 peratus bajet yang diperuntukan di bawah skim tersebut.

Syarikat itu memberitahu, terdapat ruang yang besar bagi memperluaskan skim insurans tersebut bagi tempoh lebih tiga bulan jika perlu.

Menurut laporan portal berita Middle East Eye pada 17 Jun lalu, menggantikan pekerja asing dengan warga Arab Saudi telah menjadi sasaran rasmi negara itu sejak berdekad-dekad lalu.

Walaupun sebelum ini ratusan ribu pekerja asing meninggalkan Arab Saudi selepas berlaku krisis harga minyak yang terakhir tetapi hanya sebahagian kecil warga negara itu mampu mengisi tempat buruh asing.

"Ketika ekonomi mula pulih semula pada akhir tahun ini, adalah dipercayai terdapat satu peningkatan pemintaan dalam beberapa barangan dan perkhidmatan," kata Syarikat Pelaburan Jadwa.

Sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19 menjejaskan sektor perniagaan. - Foto AFP
Sekatan perjalanan akibat pandemik Covid-19 menjejaskan sektor perniagaan. - Foto AFP

"Peningkatan seumpama itu mempunyai kaitan dengan langkah yang diambil berkaitan dengan pandemik yang berpotensi mengehadkan bekalan visa baru expatriat sekali gus dilihat akan memberi peluang lebih banyak kepada warga tempatan," tambah syarikat tersebut.

Syarikat itu menyatakan data terbaru untuk kajian bukan minyak Indeks Pembelian Pengurus (PMI) menunjukkan bahawa sekatan perjalanan tidak memberi kesan kepada kadar pekerjaan di sektor swasta.

Berdasarkan kepada data liputan insurans, dijangkakan pemberhentian pekerja asing akan berlaku pada masa terdekat.

Sejak beberapa tahun lalu, peraturan Saudinisasi bersama dengan keperluan ekonomi dan perubahan sikap dalam kalangan rakyatnya telah menyebabkan ramai warga Arab Saudi mengisi pekerjaan yang dulunya dikuasai oleh buruh asing.

Rakyat tempatan dilihat sudah menjadi barista, penghantar barang dan penyambut tetamu hotel.

Sehingga kini, langkah-langkah rangsangan termasuk janji untuk menampung 60 peratus gaji untuk sebahagian warga Arab Saudi di sektor swasta telah membantu meminimakan kehilangan pekerjaan di Arab Saudi. - Agensi