Syarikat penerbangan diminta turunkan harga tambang

 Dr Wee Ka Siong
Dr Wee Ka Siong
A
A
A

PUTRAJAYA - Kementerian Pengangkutan meminta semua syarikat penerbangan menurunkan harga tambang sejajar dengan kelonggaran prosedur operasi standard (SOP) penjarakan sosial terhadap penumpang dalam pesawat dan pengunjung terminal lapangan terbang.

Menterinya, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong berkata, menerusi kelonggaran SOP berkenaan, penetapan kadar tambang penerbangan perlulah munasabah serta tidak membebankan rakyat terutama semasa tempoh pemulihan akibat koronavirus (Covid-19).

Beliau berkata, langkah itu perlu diambil memandangkan permintaan bagi perjalanan udara semakin meningkat.

"Pada 11 Jun lalu, pihak kementerian telah membincangkan mengenai pemulihan semula sektor penerbangan dengan Malaysia Airlines Berhad (MAB), AirAsia Berhad dan Malindo Air.

"Mereka memaklumkan bahawa harga tiket penerbangan ditentukan menggunakan kaedah dinamik yang antara lain mengambil kira kadar penawaran dan permintaan yang didorong oleh pasaran.

"Mereka akan menetapkan kadar tambang penerbangan dengan mengambil kira permintaan pasaran, keadaan ekonomi serta faktor lain seperti harga bahan api dan kos operasi," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, syarikat penerbangan juga memaklumkan perlu memastikan terdapat permintaan yang berterusan dan stabil sebelum harga tambang dapat kembali normal seperti sebelum wabak Covid-19.

"Orang ramai juga disaran membuat perancangan dengan membeli tiket penerbangan lebih awal bagi mendapatkan tawaran harga tiket yang lebih murah berbanding pembelian saat akhir.

Artikel Berkaitan:

Kementerian Pengangkutan sebelum ini digesa menyemak kembali senarai tambang tiket penerbangan dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikatakan tidak masuk akal dan memberi beban terutama kepada rakyat dari Sabah dan Sarawak.