Bursa Malaysia dibuka melepasi paras 1,500

- Gambar hiasan
- Gambar hiasan
A
A
A

BURSA Malaysia dibuka rendah tetapi pulih selepas itu dengan indeks utama urus niaga melepasi paras 1,500, disokong oleh pembelian berterusan di kaunter perladangan dan penjagaan kesihatan.

Pada jam 9.15 pagi, indeks penanda aras FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) menokok 1.187 mata kepada 1,508.44 berbanding 1,507.26 ketika ditutup pada Jumaat.

Indeks utama dibuka 1.31 mata lebih rendah pada 1,505.95.

Di pasaran lebih luas, kaunter untung mengatasi rugi dengan 264 berbalas 246, sementara 293 kaunter tidak berubah, 1,129 tidak diniagakan dan 18 lain digantung.

Jumlah dagangan ialah sebanyak 682.51 juta unit bernilai RM337.31 juta.

Malacca Securities dalam nota penyelidikannya berkata, ia menjangkakan pemulihan pada sesi penutup minggu lepas bukan satu kelaziman kerana para pelabur mungkin mengambil peluang untuk mengaut keuntungan segera di celah-celah kebimbangan berlanjutan terhadap peningkatan kes koronavirus (Covid-19).

“Bagaimanapun, sekiranya paras psikologi 1,500 terus bertahan, kami berpendapat pemulihan akan menguatkan indeks utama menjuruskan kepada zon pengukuhan dengan paras halangan semerta pada 1,550. Pada sisi lain, paras sokongan kekal pada 1,490, diikuti dengan 1,460,” katanya.

Sementara itu, firma penyelidikan itu turut menyatakan tambahan RM942 juta dalam diskaun dan rebat bil elektrik pengguna di bawah Bantuan Prihatin Elektrik Tambahan dapat mendorong saham pengguna, disokong oleh pendapatan boleh guna yang tinggi.

Artikel Berkaitan:

Dalam pada itu, Pelan Induk Pengangkutan Pulau Pinang (PTMP) bernilai RM46 bilion yang mendapat kelulusan pihak berkuasa, dapat memberi dorongan kepada sektor pembinaan dan pemaju hartanah terpilih yang mempunyai tapak kukuh di Pulau Pinang, tambahnya.

Saham berwajaran tinggi menyaksikan Maybank susut tiga sen kepada RM7.63, sementara TNB menokok empat sen kepada RM11.84, Public Bank menambah lapan sen kepada RM16.66 dan Petronas Chemicals dan IHH Healthcare, masing-masing lebih tinggi sebanyak 10 sen kepada RM6.37 dan RM5.50.

Bagi saham paling aktif, MQ Technology dan Key Alliance, masing-masing naik satu sen kepada enam sen dan 8.5 sen, Careplus menokok lima sen kepada RM1.46 sementara KNM tidak berubah pada 24.5 sen.

Di papan indeks pula, Indeks FBM Emas untung 13.78 mata kepada 10,614.38, Indeks FBMT 100 naik 9.67 mata kepada 10,459.15 dan FBM 70 melonjak 17.92 mata kepada 12,974.44.

Indeks FBM Emas pula menambah 28.30 mata kepada 12,030.38, FBM ACE meningkat 55.73 mata kepada 6,108.59.

Mengikut sektor, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian mengukuh 0.45 mata kepada 135.64, Indeks Perkhidmatan Kewangan susut 11.93 mata kepada 12,966.32, manakala Indeks Perladangan turun 36.36 mata kepada 6,761.19. - Bernama