Operator kilang mengaku tidak bersalah hina Agong

Seorang operator kilang didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan jelik menerusi laman Facebook pada Mac lepas.
Seorang operator kilang didakwa di Mahkamah Sesyen Kulim atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong dengan kenyataan jelik menerusi laman Facebook pada Mac lepas.
A
A
A

KULIM - Seorang operator kilang hari ini mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini, atas pertuduhan menghina Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah dengan kenyataan jelik menerusi laman Facebook pada Mac lepas.

Muhammad Shammir Sam, 23, membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Musyiri Peet selepas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa mahkamah.

Tertuduh didakwa secara sedar membuat dan memulakan penghantaran komunikasi bersifat jelik menerusi laman profil Facebook 'Mohd Syamir Sam' pada 1 tengah hari 4 Mac lalu di No 249, Jalan 3, Taman Selasih di sini.

Dia dituduh menurut Seksyen 233(1)(a) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 233(3) akta sama yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara sehingga setahun atau kedua-duanya, serta boleh didenda selanjutnya RM1,000 bagi setiap hari kesalahan itu diteruskan selepas pensabitan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin dan memerintahkannya melaporkan diri di balai polis terdekat setiap dua minggu.

Hakim menetapkan 22 Julai ini untuk sebutan semula kes sementara menunggu proses lantikan peguam dan serahan dokumen berkaitan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Galvin Loo Wei Ming. - Bernama

Artikel Berkaitan: